Lelaki warga Bangladesh rogol anak tiri OKU dijel 10 tahun

Gambar hiasan.
A
A

MELAKA - Seorang bapa warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol anak tiri yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) mental tahun lepas.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Lelaki berumur 41 tahun itu didakwa merogol anak tiri perempuannya yang merupakan warga tempatan berusia 21 tahun ketika kejadian di sebuah rumah kedai di Jalan Plaza Mahkota di sini, pada 10 malam, 13 Jun 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sembilan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan. - Bernama