Penganggur rompak, rogol pengantin baharu dijel 24 tahun dan 10 sebat

Tertuduh, Muhammad Yusof Othman, 28, dijatuhi hukuman 24 tahun penjara dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku salah merogol dan merompak pengantin baharu, tahun lalu
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang penganggur dijatuhi hukuman 24 tahun penjara dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merogol dan merompak pengantin baharu tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Yusof Othman, 28, dari Dungun dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah atas dua pertuduhan iaitu Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak mangsa yang berusia 30 tahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa semasa menceroboh masuk ke rumah sewanya di Paka, Dungun, jam 5.40 pagi, pada 5 Oktober tahun lalu.

Selain itu, tertuduh didakwa merompak mangsa dengan memaksa menyerahkan wang tunai dan barangan berharga termasuk sebuah telefon bimbit pada waktu, tempat dan hari sama.

Mahkamah juga memerintahkan agar kesemua hukuman penjara berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 21 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak di hadapan Hakim Nooriah Osman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa kejadian, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak tidur bersendirian memandangkan rakan serumahnya sudah berhenti kerja, manakala suami yang baharu dikahwini beberapa bulan bekerja di Kuala Lumpur.

Tertuduh yang dikatakan bertopeng dan hanya berseluar dalam memecah masuk sebelum merogol mangsa.

Mangsa turut cedera di paha akibat terkena gunting ketika bergelut dan tertuduh turut membawa lari wang tunai RM200 serta sebuah telefon bimbit milik mangsa.