Pas yakin calon MCA boleh menang

Dr Mohd Mazri pada sidang akhbar memperkenalkan calon BN di Pusat Gerakan Utama BN di Jalan UMNO di sini sebentar tadi.
Dr Mohd Mazri pada sidang akhbar memperkenalkan calon BN di Pusat Gerakan Utama BN di Jalan UMNO di sini sebentar tadi.
A
A
A

PONTIAN- Pas yakin calon yang dipilih Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai akan membawa kemenangan sekali gus menjadi PRK pertama yang dimenangi selepas Piagam Muafakat Nasional dimeterai bersama UMNO pada 14 September lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, tidak timbul isu calon dari MCA kerana Piagam Muafakat Nasional dimeterai dengan semua parti komponen dalam BN.

"Kami (Pas) percaya kepada siapa sahaja yang diberi tanggungjawab sebagai calon oleh BN mempunyai faktor boleh menang.

"Pemuafakatan (Piagam Muafakat Nasional) bukan dengan UMNO sahaja tetapi juga dengan semua komponan dalam BN," katanya pada sidang akhbar memperkenalkan calon BN di Pusat Gerakan Utama BN di Jalan UMNO di sini sebentar tadi.

Dr Mohd Mazri yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat menegaskan PRK Parlimen Tanjung Piai cukup penting dalam memberi isyarat kepada kerajaan hari ini yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

"Walaupun PRK Parlimen Tanjung Piai tidak ubah status "quo" kerajaan tetapi boleh bagi isyarat kerajaan hari ini 'rapuh'.

"Jika kita dapat kalahkan PH pada PRK Tanjung Piai kali ini, Insya-ALLAH pada Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15) kita boleh tumbangkan PH," katanya.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng secara sah dipilih sebagai calon BN pada PRK Tanjung Piai 16 November ini.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu diumumkan Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebentar tadi.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu kibat komplikasi jantung.