Mantap perkasa institusi pendidikan agama

KHAIRUL AZMI
KHAIRUL AZMI
A
A
A

KUANTAN- Majlis Taawun Pusat Pendidikan Islam Pahang (Mantap) merangka pelbagai program bagi memantapkan mutu pendidikan dan pengurusan semua institusi agama di bawahnya.

Pengerusi Mantap, Khairul Azmi Ismail berkata, pihaknya bersama ahli gabungan sudah bermesyuarat dalam merangka program-program untuk takwin 2019 ini.

Menurutnya, antara program yang akan dilaksanakan termasuk Program Peningkatan Kemahiran mengajar untuk guru-guru agama dan kursus pengurusan.

“Kursus ini diadakan supaya guru-guru di semua institusi agama di bawah Mantap mempunyai kemahiran tinggi dalam proses pengajaran dalam meningkatkan mutu pendidikan.

“Manakala kemahiran pengurusan juga penting supaya dalam memastikan kelancaran operasi institusi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khairul Azmi berkata, dalam mesyuarat itu juga, semua institusi di bawah Mantap disaran supaya berdaftar dengan Majlis Ugama Islam dan Adat resam Melayu Pahang (Muip).

"Tidak dinafikan ada yang belum berbuat demikian jadi untuk tahun ini kita minta institusi-institusi ini tampil mendaftar,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, pihak Mantap juga akan mengatur program berpusat melibatkan pelajar-pelajar institusi di bawah majlis itu.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin kita akan anjurkan program seperti perkhemahan dan semua institusi perlu menghantar pelajar mereka untuk menyertainya dan pada masa sama, kita juga merancang program seperti karnival dan sukan tahunan untuk mengisi takwin 2019,” katanya.

Menyentuh berhubung masalah kewangan yang mungkin dihadapi sesetengah institusi agama di negeri ini, Khairul Azmi berkata, tidak dinafikan kebanyakkannya bergantung kepada sumber kewangan tidak tetap.

“Kita harapkan kerajaan dapat menyalurkan peruntukan kepada institusi agama seperti yang diumumkan pada pembentangan bajet sebelum ini.

“Kita tahu dana itu ada seperti yang diumumkan namun setakat ini belum ada sebarang maklumat dan perkembangan terbaharu mengenai peruntukan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, sebab itu semua institusi bawah Mantap ditekankan agar mendaftar supaya tersenarai sebagai penerima dana yang diperuntukan itu.

“Pihak Mantap juga akan membantu mana-mana institusi yang ada masalah dan terdesak berdasarkan kemampuan,” katanya.

Khairul Azmi berkata, beliau berpuas hati dengan sambutan dan kepercayaan masyarakat terhadap sekolah-sekolah aliran agama di negeri ini yang terus meningkat.

Katanya, difahamkan ada sekolah-sekolah aliran ini menerima permohonan kemasukkan melebihi kuota ditetapkan.

“Pada masa yang sama, kita dapati banyak pusat-pusat pengajian baharu diwujudkan bagi memenuhi permintaan.

“Perkembangan ini amat baik untuk pendidikan Islam meskipun ada pihak yang tidak senang dengannya,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!