Esok cuma lancar jentera PRK, belum umum calon: Annuar

 Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan jentera pilihanraya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai akan dilancarkan di Pusat Operasi PRK Tanjung Piai di bangunan UMNO Pontian pada jam 3 petang esok.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ketereh itu menepis dakwaan kemungkinan nama calon pilihan raya yang mewakili Barisan Nasional (BN) akan turut diumumkan pada majlis sama.

Menurutnya, pengumuman nama calon PRK itu masih dalam perbincangan pihak UMNO dan BN.

"Ya, memang esok kita akan lancarkan jentera PRK Parlimen Tanjung Piai pada sebelah petang.

"(Soal kebenaran pengumuman nama calon PRK) Itu kita masih bincang dengan pihak UMNO dan BN...Belum lagi," jawabnya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hari ini tular mesej mengenai program pelancaran jentera BN bagi menghadapi PRK Tanjung Piai dan pengumuman nama calon dijadualkan esok oleh individu didakwa Setiausaha UMNO bahagian Tanjung Piai.

Mesej disebarkan melalui aplikasi WhatsApp itu turut meminta UMNO cawangan menghantar lima wakil bagi setiap pergerakan akar umbi dan kesemua peserta diarahkan memakai baju biru BN.

Ketua Bilik Gerakan MCA bahagian Tanjung Piai, Ng Kin Lai dikatakan turut menyebarkan mesej jemputan ke majlis pelancaran bilik gerakan MCA bagi menghadapi PRK Parlimen Tanjung Piai yang dijadualkan berlangsung di Pekan Nenas, Pontian pada jam 12 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Setiausaha Agungnya Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya juga melalui kiriman WhatsApp dijangka melaksanakan pelancaran jentera PRK selain memperkenalkan calonnya di Hai Kee Hall, Batu 34, Pontian pada jam 2 petang esok.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah memberi bayangan parti itu mungkin akan bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

Ahmad Zahid berkata, ia berikutan masyarakat Tanjung Piai dan parti berkenaan mahukan pembaharuan di Parlimen itu walaupun kerusi itu dikenali sebagai kerusi tradisi MCA.