Wanita maut kereta dirempuh pacuan empat roda

Kereta yang dinaiki dua wanita remuk selepas bertembung dengan Toyota Hilux di Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands hari ini. - Foto JBPM Perak.
Kereta yang dinaiki dua wanita remuk selepas bertembung dengan Toyota Hilux di Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands hari ini. - Foto JBPM Perak.
A
A
A

SIMPANG PULAI - Seorang warga emas wanita maut selepas kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux di KM16, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari tadi, mangsa, Toh Giat Tiang, 69, yang berasal dari Cameron Highlands, Pahang, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, nahas itu dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux terbabit terbabas ketika melalui selekoh hingga memasuki laluan bertentangan.

"Mangsa merupakan penumpang hadapan Perodua Myvi bersama seorang wanita berusia 28 tahun dalam perjalanan menuju ke Simpang Pulai manakala Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 22 tahun itu pula datang dari arah bertentangan.

"Siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu lelaki dipercayai telah terbabas hingga memasuki laluan bertentangan lalu melanggar Perodua Myvi yang dinaiki kedua-dua wanita terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, mangsa yang tersepit di tempat duduknya disahkan meninggal dunia manakala kedua-dua pemandu dilaporkan cedera.

"Mereka dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat.

"Tiada tangkapan dibuat setakat ini namun polis sedang mengesan saksi bebas yang menyaksikan kejadian itu bagi mendapatkan maklumat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zakaria berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam Perodua Myvi hari ini. - Foto JBPM Perak
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam Perodua Myvi hari ini. - Foto JBPM Perak