Osman Sapian nafi dipilih jadi calon PRK Tanjung Piai

Osman
Osman
A
A
A

PONTIAN - Sejak pagi tadi tular poster ucapan tahniah kepada bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian di atas pemilihannya sebagai calon Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, bulan depan.

Poster beserta gambar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu menimbulkan pelbagai tanda tanya adakah beliau calon PRK Tanjung Piai memandang kriteria anak tempatan yang disebut pucuk pimpinan turut dimiliki Osman.

Osman berasal daripada Kampung Kayu Ara Pasong, Pontian dan mendapat pendidikan rendah dan menengah di kawasan itu antaranya di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Penggawa Barat.

Bagaimanapun, Osman ketika dihubungi Sinar Harian menafikan perkara itu dan menyifatkannya sebagai khabar angin yang dimainkan pihak tertentu terutamanya menjelang penamaan calon PRK Tanjung Piai pada 2 November ini.

"Saya tidak tahu apa-apa. Saya sendiri terperanjat. Pagi ini, telefon saya berdering-dering yang mana banyak pihak telah menghubungi saya serta mengucapkan tahniah atas pencalonan saya.

"Saya kira, pihak tertentu mainkan isu ini selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) ada mengeluarkan kenyataan tentang calon yang bakal dipilih baru-baru ini," katanya.

Osman berkata, beliau juga tidak menerima sebarang jemputan daripada parti berkenaan pencalonannya.

"Saya meletakkan soal calon yang bakal bertanding di situ kepada pucuk pimpinan dan sentiasa memberi sokongan untuk memastikan kerusi berkenaan kekal menjadi milik PH," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Tanjung Piai: PH dijangka umum calon 30 Oktober

Semalam Ketua Bahagian Bersatu Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini memberitahu PH dijangka mengumumkan nama calon yang bakal bertanding pada PRK Tanjung Piai pada 30 Oktober di hadapan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Pontian.

Katanya, Bersatu Bahagian Tanjung Piai sudah menyerahkan tiga nama calon kepada peringkat pucuk pimpinan untuk diteliti dan diputuskan.

Jelasnya ketiga - tiga nama calon terbabit merupakan pemimpin Bersatu Bahagian Tanjung Piai.

Karmaine berkata, antara kriteria calon yang ditetapkan itu adalah anak tempatan, seorang yang berpengalaman dalam politik dan mempunyai latar pendidikan yang baik.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November depan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.

Poster ucapan tahniah Osman dipilih sebagai calon PH pada PRK Tanjung Piai tular di media sosial sejak pagi tadi.
Poster ucapan tahniah Osman dipilih sebagai calon PH pada PRK Tanjung Piai tular di media sosial sejak pagi tadi.