[VIDEO] Nelayan patut dipenjara 202 tahun

Nelayan terbabit mengaku bersalah mencabul, melakukan persetubuhan dan merakam gambar bogel anak perempuan tirinya sejak tiga tahun lalu.
A
A

IPOH [DIKEMASKINI] - Seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara 202 tahun dan 23 sebatan selepas didapati bersalah mencabul, melakukan persetubuhan dan merakam gambar bogel anak perempuan tirinya yang kini berusia 15 tahun sejak tiga tahun lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu membuat pengakuan bersalah di atas semua 22 pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini.

Lelaki terbabit bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara 38 tahun dan dikenakan 23 sebatan selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman dijalankan secara serentak dari tarikh tangkapan, 30 September 2019.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mempertimbangkan semua pertuduhan dan fakta kes yang dikemukakan termasuk rayuan daripada peguam dan hujahan pihak pendakwaan.

Tertuduh mengaku bersalah bagi lima pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan dan satu pertuduhan merakam gambar anak tirinya itu ketika memakai pakaian menggunakan telefon bimbit.

Sementara itu, tertuduh turut mengaku bersalah atas 14 pertuduhan melakukan persetubuhan dan hubungan seks tanpa kerelaan anak tirinya dan dua pertuduhan mencabul ketika mangsa berusia 12 tahun 10 bulan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Sitiawan, Manjung antara April 2016 hingga 29 September lalu.

Bagi semua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, 376B(1) Kanun Keseksaan, 377CA Kanun Keseksaan, Seksyen 354 Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan maksimum atas kesalahan keji dilakukan tertuduh yang diibaratkan seperti haruan makan anak hingga mengakibatkan trauma dan mempengaruhi mangsa secara emosi.

Robert bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira permohonan maaf dan pengakuan bersalah dibuat tertuduh.

Julie Lack dalam penghakiman kemudiannya memutuskan tertuduh perlu menjalani hukuman penjara 38 tahun dan sebatan 23 kali untuk semua pertuduhan yang dikemukakan.

Hukuman diputuskan itu telah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh yang telah menjimatkan masa dan kos serta menyelamatkan mangsa dari datang ke mahkamah.

Mengikut fakta kes, kesemua kesalahan dilakukan tertuduh itu terbongkar selepas ibu mangsa menemui kad memori SD yang mempunyai gambar mangsa dalam keadaan bogel sebelum satu laporan polis dibuat.