X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Sudah empat bulan saya digantung tidak bertali, kata Lutfya

Lutfya ditemui di luar mahkamah selepas selesai prosiding.
A
A

PENYANYI dan pelakon, Lutfya Sheikh Omar kesal apabila suaminya Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 29, tidak hadir ke Mahkamah Syariah Subang Bestari Petaling Jaya hari ini bagi sebutan kes permohonan cerainya.

Terdahulu Lutfya,34, yang juga merupakan bintang program realiti Akademi Fantasia itu hadir di mahkamah berkenaan bagi sebutan permohonan cerai yang difailkannya terhadap suaminya bulan lalu.

Dalam prosiding itu, Peguam Syarie,Fadhlina Siddiq yang mewakili Lutfya memaklumkan saman kepada defendan telah diserahkan di tempat kerjanya di Jempol, Negeri Sembilan pada 7 Oktober lalu.

"Buat masa ini, kami tiada maklumat mengenai ketidakhadiran defendan pada hari ini dan memohon tarikh lain untuk sebutan permohonan cerai mengikut Seksyen Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003," katanya.

Hakim Syarie Shukran Yusof, kemudian menetapkan 18 November depan bagi kedua-dua pihak hadir dan memaklumkan prosiding boleh diteruskan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan Hakam.

Selepas prosiding selesai, Lutfya yang ditemui wartawan di luar mahkamah berkata, suaminya buat masa ini susah untuk dihubungi dan tidak mahu berbincang dengan baik bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

"Dia juga tidak menjalankan tanggungjawabnya dan setakat ini sudah empat bulan saya digantung tidak bertali.

"Saya juga mahu perkara ini diselesaikan dengan segera dan turut pulih dari masalah ini dan setakat ini anak saya di bawah jagaan saya dan sudah pun berusia 2 tahun," katanya.

Terdahulu, Lutfya dilihat hadir di Mahkamah Syariah Subang Bestari Petaling Jaya, bersama rakan artis, Heliza Helmi dan Zulin Aziz.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus