Polis buru lelaki cabul budak lima tahun

A
A

SEREMBAN - Polis memburu seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di sebuah kedai langsir di Nilai 3 dekat sini Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, suspek yang dikenali sebagai Alam dipercayai telah melarikan diri selepas kejadian tersebut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis di rumah suspek juga gagal menemuinya.

“Polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada jam 11.30 malam yang memaklumkan anaknya mengadu sakit di bahagian kemaluan kira-kira jam 10 malam hari sama.

"Ibu mangsa bertanya mengapa boleh sakit, anaknya memaklumkan ada seorang lelaki telah membuka seluar dan menjilat kemaluan mangsa.

“Mangsa juga memberitahu ibunya bahawa pelaku adalah individu yang dikenali sebagai Alam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu di bahagian belakang kedai berkenaan yang dijadikan tempat tidur mangsa.

Beliau berkata, siasatan mendapati pengadu merupakan seorang warga Indonesia yang telah berkahwin dengan seorang lelaki warga tempatan.

Katanya, pengadu dan suaminya bekerja di kedai langsir bersebelahan dengan kedai langsir tempat suspek bekerja dan mereka telah mengenali suspek kira-kira enam tahun lalu.

“Pengadu turut memaklumkan suspek selalu datang ke tempat kerjanya dan bermain dengan anaknya.

"Bagaimanapun pengadu tidak pasti sudah berapa kali suspek mencabul anaknya kerana ini merupakan kali pertama mangsa menceritakan kejadian tersebut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.