[DIKEMASKINI] Kanak-kanak derita sakit jantung

Awatif menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala masih tidak sedarkan diri.
Awatif menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala masih tidak sedarkan diri.
A
A
A

GUA MUSANG - Pasangan suami isteri buntu memikirkan nasib mereka sekeluarga apabila anak tunggalnya menderita penyakit jantung dan kini tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Siti Norlinda Saimin, 32, dari Rancangan Kemajuan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Asap berkata, anaknya, Putri Nur Awatif Haziqah Md Roslan, 9, diserang sawan pada 5 Oktober lalu.

Katanya, sebelum ini, anaknya disahkan menghidap penyakit jantung sejak lahir namun kini deritanya bertambah selepas disahkan terdapat darah beku dalam kepala.

"Kesihatan anak saya memang terjejas sejak awal tahun ini dan saya tidak menghantarnya ke sekolah. Sebelum ini, dia bersekolah di SK (Sekolah Kebangsaan) Renok Baru, Gua Musang.

"Pada Sabtu minggu lalu, dia mengadu sakit kepala dan kemudian muntah berkali-kali. Pada jam 2 pagi, dia diserang sawan. Saya terus bawanya ke HGM (Hospital Gua Musang).

"Dari HGM, dia terus dihantar ke Hospital Kuala Krai dan dibawa ke HUSM pada hari yang sama. Pembedahan terus dilakukan pada 7 Oktober lalu dan hingga kini dia masih belum sedarkan diri," katanya sebak.

Tambah Norlinda, dia dan suami, Md Roslan Said, 41, berumah di hospital sejak minggu lalu dan setia menunggu anak tunggalnya itu sedar semula.

"Saya suri rumah manakala suami bekerja sebagai pemandu lori. Pendapatan suami hanya RM1,000 sebulan dan kini dia hilang punca kewangan.

Artikel Berkaitan:

"Saya hanya bergantung kepada pendapatan suami dan tidak menerima mana-mana bantuan dari pihak lain. Ketika usia lima tahun, anak saya terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM150 sebulan.

"Namun, bantuan itu hanya dua tahun sahaja, apabila usia anak tujuh tahun, bantuan itu dihentikan tanpa sebab," katanya.

Sesiapa yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank CIMB milik Norlinda, 7071076638.