16 maut serangan masjid di Burkina Faso

Tentera dikerah ke bandar Salmossi susulan serangan maut yang meragut 16 nyawa.
Tentera dikerah ke bandar Salmossi susulan serangan maut yang meragut 16 nyawa.
A
A
A

OUAGADOUGOU - Sekurang-kurangnya 16 orang dilaporkan maut dalam serangan bersenjata di sebuah masjid di utara Burkina Faso petang kelmarin.

Sumber memberitahu AFP, sekumpulan lelaki bersenjata menyerang Masjid Besar di bandar Salmossi menyebabkan 13 jemaah masjid maut di tempat kejadian sementara tiga lagi meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan.

Sementara itu, dua mangsa yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Seorang penduduk di bandar Gorom-Gorom yang terletak berhampiran berkata, penduduk yang panik melarikan diri walaupun pihak tentera dikerah ke lokasi kejadian susulan serangan maut terbabit.

Meskipun sering berdepan serangan pengganas, kebanyakan warga Burkina Faso menentang kehadiran pasukan tentera asing di negara mereka.

"Keganasan menjadi alasan utama menubuhkan pengkalan tentera asing di negara kita.

"Perancis, Amerika Syarikat, Kanada, Jerman dan beberapa pasukan tentera lain telah bertapak di sini dengan alasan menentang keganasan, namun kumpulan pengganas semakin berkuasa," kata Gabin Korbeogo, salah seorang penganjur bersama protes yang disertai kira-kira 1,000 orang di Ouagadougou semalam bagi membantah keganasan dan kehadiran tentera asing di Afrika.

Kelemahan pertahanan dan pasukan keselamatan yang kekurangan senjata serta latihan menyebabkan Burkina Faso gagal menangani serangan keganasan yang semakin berleluasa.

Artikel Berkaitan:

Menggabungkan taktik gerila dan pengeboman bunuh diri, pengganas dilaporkan telah meragut hampir 600 nyawa, menurut angka yang dikumpulkan oleh AFP. - AFP