PRK Tanjung Piai: Calon UMNO lebih sesuai

Sivamurugan Pandian
Sivamurugan Pandian
A
A
A

SHAH ALAM – Semangat kekitaan atau muafakat dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu diambil kira dalam menentukan calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bulan depan.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, keputusan MIC memberi laluan kepada BN sekali gus memenangi PRK Cameron Highlands awal Januari lalu perlu dijadikan penanda aras.

“Mungkin dalam PRK Tanjung Piai ini, MCA perlu berlapang dada dan menyerahkan kepada UMNO jika merasakan sokongan pengundi akan meningkat dengan melakukan perubahan calon.

“Ini yang berlaku pada PRK Cameron Highlands yang mana MIC memberi laluan kepada calon BN sekali gus memenanginya dan tidak mustahil ia boleh berlaku pada PRK Tanjung Piai nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, penyatuan UMNO-Pas juga dilihat faktor yang akan menarik sokongan ke arah BN jika sekiranya parti itu dapat menarik kembali undi protes ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Ini juga dapat menarik mereka yang setia kepada parti serta mengelak unsur sabotaj.

“Bagi saya ‘kingmaker’ di Tanjung Piai adalah undi Melayu, jadi BN boleh membuat ujikaji di sini untuk melihat tahap penerimaan jika calon UMNO diletakkan dan sejauh mana impak dari sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu,” katanya.

Bagaimanapun, Sivamurugan berkata, UMNO perlu berhati-hati untuk memastikan komponen BN tidak melakukan protes dalaman.

Artikel Berkaitan:

“Pertembungan idealisme BN selama ini yang bersifat kompromi dan berkorban akan diuji dan bagaimanakah pemimpin atasan bersedia untuk bergerak bersama atas platform muafakat BN-UMNO-Pas juga bergantung kepada penerimaan penyokong Pas.

“Tetapi dalam hal ini juga, MCA barangkali merasa boleh menang kerana calonnya tewas dengan majoriti kecil pada PRU14 selain calon itu mestilah popular di kawasan berkenaan,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat serangan jantung pada 21 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRK itu pada 16 November depan dengan Hari Penamaan Calon pada 2 November dan 12 November pula ialah Hari Mengundi Awal.