Lelaki didakwa rogol, liwat dua kanak-kanak

Tertuduh, Muhammad Firdaus Wong Abdullah, 44, didakwa atas empat pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap dua kanak-kanak masing-masing berusia lima dan tujuh tahun, di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap dua kanak-kanak.

Mangsa masing-masing berusia lima dan tujuh tahun yang juga anak kenalannya.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Wong Abdullah, 44, dari Jalan Sultan Omar, berdepan satu pertuduhan merogol, dua pertuduhan meliwat dan satu pertuduhan melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap dua beradik tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Batu Burok di antara jam 8.30 malam hingga 10 malam tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat kanak-kanak itu di sebuah rumah di daerah ini, antara jam 8.30 malam hingga 10 malam tahun lalu.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan amang seksual fizikal yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 di sebuah rumah di bandar raya ini antara jam 8.30 malam hingga 10.30 malam pada 6 Februari lalu.

Selain mangsa, tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat adik lelaki mangsa berusia lima tahun di sebuah rumah di bandar raya ini antara jam 8.30 malam hingga 10.30 malam, 6 Februari lalu.

Tertuduh bagaimanapun hanya membuat pengakuan salah bagi pertuduhan melakukan kesalahan amang seksual fizikal manakala memohon untuk dibicarakan bagi tiga lagi pertuduhan iaitu merogol dan dua pertuduhan meliwat.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah di hadapan Hakim Nooriah Osman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 15 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk jatuh hukum dan serahan dokumen bagi tiga lagi pertuduhan dibicarakan.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang ikat jamin.