Asyraf Wajdi gesa PM singkir pemimpin rasis dari DAP, PKR

Kenyataan Asyraf Wajdi di laman Facebooknya.
Kenyataan Asyraf Wajdi di laman Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyingkirkan segera pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bersikap rasis daripada kerajaan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah drastik itu perlu sekiranya Dr Mahathir serius ingin mengembalikan maruah Melayu sebagaimana ucapan beliau dalam Kongres Maruah Melayu (KMM) hari ini.

“Menginsafi kenyataan Tun (Dr Mahathir) yang menegaskan bahawa beliau sudah kesuntukan masa atas faktor usia, Pemuda UMNO dengan ini menyarankan beliau mengambil langkah drastik dan segera untuk memulihkan maruah Melayu dengan menyingkirkan DAP dan PKR,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Dalam kenyataan sama, Asyraf Wajdi turut menyenaraikan 10 alasan mengapa Ahli Parlimen Langkawi itu perlu menyingkirkan pemimpin rasis daripada kedua-dua parti itu.

Antara alasan disenaraikan itu ialah pemimpin DAP dan PKR mengeluarkan kenyataan rasis terhadap Melayu dan Islam seperti mendakwa kaum Melayu sebagai pendatang, menyamakan kerjasama UMNO dan Pas akan membentuk negara seperti Taliban, Afghanistan dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya cakap benda benar tentang Melayu: Dr Mahathir

“Keangkuhan DAP dan PKR juga hampir berjaya membawa negara meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD), mempengaruhi kerajaan sehingga menandatangani Statut Rom dan penguasaan pemimpin kanan DAP dalam Kementerian Kewangan seperti Lim Guan Eng selaku menteri dan Tony Pua setiausaha politik, telah menimbulkan persepsi umum banyak menghakis kepentingan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.

“Jadi, berdasarkan alasan-alasan di atas, maka Pemuda UMNO sekali lagi menggesa agar Dr Mahathir dapat melakukan tindakan yang betul pada kali ini sebelum terlambat untuk menyatukan semula orang Melayu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan melahirkan rasa sedih kerana maruah Melayu dipandang hina atas kesalahan mereka sendiri ketika berucap di pentas KMM yang diadakan di Stadium Malawati di sini hari ini.

KMM dianjurkan empat universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi membincang serta mencari penyelesaian masalah orang Melayu