Belanjawan 2020: Jangan pinggir rakyat luar bandar

No Image Caption
A
A
A

GUA MUSANG - Pembentangan Belanjawan 2020 pada Jumaat depan diharapkan tidak meminggirkan rakyat di kawasan luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, masyarakat luar bandar antara kelompok utama yang perlu dibantu memandangkan mereka terjejas akibat kos sara hidup yang semakin tinggi.

Katanya, selain bantuan bencana dan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT), penyaluran bantuan kepada kelompok peneroka juga perlu diteruskan bagi memastikan kehidupan mereka tidak terhimpit.

"Antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian di kawasan luar bandar adalah peruntukkan untuk memperbaiki infrastruktur dan jalan serta bekalan air dan elektrik yang masih belum dinikmati sesetengah masyarakat terutamanya orang asli.

Syahbuddin (tengah) ketika menjayakan Program Kembara Galas dan Nenggiri ke kawasan penempatan orang asli di sini hari ini.
Syahbuddin (tengah) ketika menjayakan Program Kembara Galas dan Nenggiri ke kawasan penempatan orang asli di sini hari ini.

"Selain itu kerajaan juga perlu membina lebih banyak rumah mampu milik bagi membantu penduduk yang menghuni di kawasan rendah dan sering ditenggelami air," katanya pada Program Kembara Galas dan Nenggiri ke kawasan penempatan orang asli di sini hari ini.

Tambah Syahbuddin, bagi memberi kemudahan kepada golongan belia pembinaan Kompleks Belia dan Sukan di kawasan Kelantan Selatan adalah perlu bagi mengasah bakat dan potensi mereka.

"Begitu juga dengan peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang eko dan agro pelancongan ia perlu diperluaskan kerana migrasi telah berlaku di kawasan luar bandar.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai wakil rakyat daripada kawasan luar bandar saya berharap Belanjawan 2020 dapat merangkum perkara-perkara yang lebih dekat di hati rakyat," katanya.