Wanita kini dibenar menginap di hotel tanpa mahram

Gambar hiasan. - Foto Agensi
Gambar hiasan. - Foto Agensi
A
A
A

JEDDAH - Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH) meluluskan satu lagi peraturan baharu membenarkan wanita yang tiba di negara itu bagi tujuan pelancongan untuk tinggal di hotel tanpa perlu ditemani mahram.

Wanita terbabit juga boleh mendapatkan kemasukan ke penginapan itu tanpa penjaga seperti suami atau bapa.

Keputusan itu bagaimanapun mewajibkan wanita menunjukkan kad pengenalan negara asalnya atau daftar keluarga.

Bagi wanita ekspatriat perlu mengemukakan pasport mereka apabila memohon untuk tinggal di kemudahan tersebut.

Selari dengan keputusan itu, SCTH meminta penyedia kemudahan penginapan pelancongan untuk tidak memberikan penginapan kepada wanita yang tiada dokumen pengenalan diri melainkan mereka ditemani saudara lelaki yang perlu didaftarkan datanya.

Syarat untuk mengemukakan dokumen pengenalan atau daftar keluarga pula akan dimansuhkan sekiranya pemohon kemudahan penginapan adalah lelaki dan ditemani keluarganya semasa ketibaan.

Dalam pada itu, SCTH menegaskan penyedia kemudahan wajib memberi penginapan kepada pelancong untuk terus mempunyai hubungan langsung dengan suruhanjaya berkenaan bagi menyediakan data dan maklumat melalui Platform Pemantauan Pelancongan Kebangsaan.

Selain itu, penyedia kemudahan juga perlu komited untuk menyediakan SCTH dengan sebarang maklumat tambahan melalui apa jua cara dalam tempoh maksimum 48 jam dari masa data itu diminta. - Agensi

Artikel Berkaitan: