X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Tanjung Piai: BN wajar letak calon Cina

PRK Parlimen Tanjung Piai
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) wajar meletakkan calon Cina terdiri daripada anak tempatan yang boleh diterima pengundi dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November depan.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, calon tersebut tidak seharusnya terdiri daripada pemimpin MCA namun melibatkan ahli badan bukan kerajaan (NGO) atau penduduk setempat di sana.

Menurutnya, UMNO dan Pas perlu menghantar isyarat jelas bahawa Muafakat Nasional antara kedua-dua parti berkenaan bukan sekadar untuk Melayu sahaja dan turut melibatkan kesediaan memimpin negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

"Penting sekali di waktu ini UMNO dan Pas menghantar isyarat bahawa Muafakat Nasional adalah wadah perjuangan untuk seluruh rakyat dan kesediaan gabungan ini mewakili semua kaum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Tanjung Piai: Asyraf Wajdi sindir SPR?

PRK Parlimen Tanjung Piai bakal diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat sakit jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan tarikh mengundi bagi PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan pada 16 November depan manakala hari penamaan calon ditetapkan 2 November dan hari mengundi Awal pada 12 November.

Dalam pada itu, Khir berkata, sekiranya BN tewas dalam PRK kali ini, ia tidak akan mengubah apa-apa namun rakyat akan bertambah yakin dengan kejujuran UMNO dan Pas untuk memimpin negara selepas PRU15 di samping menafikan bahawa perjuangan Muafakat Nasional hanya untuk kaum Melayu sahaja.

Malah, jika BN menang, beliau berkata, ia dapat membuka mata pendokong MCA bahawa Muafakat Nasional merupakan solusi yang dinantikan rakyat bagi mengajar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang semakin bongkak.

"Situasi ini juga membolehkan MCA diterima kembali oleh kaum Cina sebagai parti yang mewakili mereka dalam kerajaan baharu seperti sebelum ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus