Pas serah mandat kepada BN tentukan calon PRK Tanjung Piai

Abdul Hadi bersalaman dengan jemaah yang hadir selepas selesai menyampaikan kuliah Dhuha di Masjid Rusila, Marang, hari ini.
Abdul Hadi bersalaman dengan jemaah yang hadir selepas selesai menyampaikan kuliah Dhuha di Masjid Rusila, Marang, hari ini.
A
A
A

MARANG - Pas menyerahkan mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk menentukan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor nanti.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, walaupun belum mengadakan sebarang mesyuarat namun pihaknya menyerahkan kepada BN untuk meletakkan calon yang akan bertanding pada PRK itu.

"Kerusi Parlimen Tanjung Piai adalah milik BN (berdasarkan PRU13), jadi keutamaannya mesti kepada BN.

"Jadi Pas tidak kisah siapa pun calon yang bakal dipilih BN dan UMNO termasuk juga meletakkan calon MCA pada PRK itu nanti.

"Pihak kami akan memberi sokongan kepada BN nanti dan akan mengambil amalan sama iaitu kerjasama seperti dilakukan pada PRK sebelum ini dengan BN," katanya ketika ditemui di kediamannya di Rusila di sini selepas menyampaikan kuliah Dhuha di Masjid Rusila.

PRK Parlimen Tanjung Piai yang juga PRK kesembilan selepas PRU14 bakal menjadi medan ujian pertama bagi kerjasama UMNO-Pas selepas memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu.

Ketika diminta mengulas mengenai calon berusia 18 tahun, Abdul Hadi berkata, usia muda sebenarnya bukan satu isu kerana ketokohan dan kebijaksanaan individu itu sebenarnya yang harus dilihat.

"Sebenarnya calon tidak terikat dengan umur kerana mungkin jika dia umur masih muda tetapi mempunyai kebijaksanaan berbanding yang usia tua. Kita perlu lihat ketokohan dan integriti calon itu sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semasa PRU14 yang diadakan pada 9 Mei tahun lalu, kerusi Tanjung Piai ditandingi tiga calon, masing-masing Dr Mohd Farid Md Rafik yang mewakili PH, Wee Jeck Seng (BN) yang juga penyandang serta Nordin Othman (Pas).

Mohd Farid mendapat kemenangan sebanyak 21,255 undi berbanding Wee (20,731) manakala Nordin pula cuma mengumpul 2,962 undi.

Mohd Farid kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan beliau meninggal dunia secara mengejut pada 21 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum lagi bermesyuarat bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pemilihan di kerusi itu.