'Menteri kena baca dulu sebelum jawab soalan wartawan'
KUALA NERUS – Barisan kepimpinan termasuk menteri disarankan supaya mengkaji terlebih dahulu sesuatu isu menerusi pembacaan sebelum menjawab soalan yang diajukan wartawan.
Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin berkata, langkah itu perlu bagi mengelak sesuatu isu disalah tafsir sehingga menimbulkan kesan yang tidak baik terhadap imej kerajaan.
Menurutnya, kini terlalu ramai individu di negara ini yang hanya pandai bercakap namun tidak memiliki asas atau pengetahuan dalam isu yang diberi tumpuan.
“Tidak kiralah sama ada seorang itu pelajar universiti, pensyarah, menteri Kabinet, Perdana Menteri, presiden, tok guru, ustaz atau sebagainya, dia tidak boleh berfikir jika tidak membaca.
“Sekiranya dia seorang menteri, jika wartawan mengajukan soalan, dia akan bercakap sahaja. Sepatutnya, kalau dia tak tahu apa yang ditanya dia kena kata saya minta maaf, saya belum membaca lagi,” katanya ketika menjawab soalan moderator sempena majlis bual bicara sepagi bersama pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini hari ini.
Dalam pada itu, A Kadir ketika ditemu bual wartawan menyatakan rasa kecewa terhadap masyarakat kini yang hanya bergantung kepada penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial berbanding maklumat tepat daripada sumber media arus perdana.
Katanya, kebergantungan masyarakat serta kakitangan kerajaan terhadap sumber maklumat yang tidak tepat daripada media sosial boleh menyebabkan kekeliruan terutama membabitkan isu-isu semasa membabitkan kerajaan dan rakyat.
“Masalah sekarang ialah masyarakat kita keliru, dia kata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berkomunikasi dengan rakyat jelata walhal hakikat sebenar ialah orang kita lebih bergantung pada maklumat menerusi media sosial atau kumpulan pesanan mudah alih (WhatsApp).
“Pengamal media yang terlibat dlm industri arus perdana adalah yang terlatih, malah tertakluk pada undang-undang dan mematuhi etika dalam mendapatkan sumber betul,” katanya.
Pada majlis itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT turut menyerahkan memorandum membantah penggabungan UMT dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) kepada A Kadir.
Penyerahan memorandum bantahan itu bertujuan bagi menyatakan pendirian menolak cadangan penggabungan dua universiti itu untuk dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.