Mustafar pikul amanah Ketua Eksekutif NFCC

Mustafar memeriksa barisan pegawai dan anggota Imigresen pada Majlis Paluan Berundur di ibu pejabat Jabatan Imigresen.
Mustafar memeriksa barisan pegawai dan anggota Imigresen pada Majlis Paluan Berundur di ibu pejabat Jabatan Imigresen.
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali mengesahkan beliau bakal mengetuai organisasi baharu yang diberi nama Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC).

Mustafar memaklumkan, pelantikan beliau itu diketahui secara rasmi selepas menerima surat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), hari ini.

Beliau yang memulakan tugas sebagai KP Imigresen pada 1 Ogos 2016 akan memulakan jawatan baharu sebagai Ketua Eksekutif NFCC itu pada 2 Januari 2019 memandangkan esok merupakan cuti umum.

"Selepas dua tahun lima bulan bersama Jabatan Imigresen, saya diamanahkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memikul cabaran baharu.

"Di NFCC gerak kerja baharu dipikul bersama rangkaian kerja oleh agensi penguatkuasaan lain termasuk, Kastam, Bank Negara, Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya dalam sidang media pada Majlis Amanat san Paluan Berundur KP Imigresen di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan organisasi baharu itu ditubuhkan sebagai usaha serius kerajaan menangani isu pengaliran keluar wang secara haram yang diumumkan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Mustafar memaklumkan, NFCC akan beroperasi di Parcel 5, dan organisasi baharu akan disusun bagi menjayakan perjalanan gerak kerja.

Mustafar, 59, pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum ditukarkan ke Jabatan Imigresen ketika krisis siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Artikel Berkaitan:

Penubuhan NFCC adalah satu daripada 61 inisiatif yang sedang dibincangkan serta diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) pada Jun hingga Disember tahun ini.