Bekalan petrol di Terengganu cukup

Zulfamy (tengah) memeriksa bekalan petrol dan diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Mahmud, di sini hari ini.
Zulfamy (tengah) memeriksa bekalan petrol dan diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Mahmud, di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu memberi jaminan bekalan petrol dan diesel mencukupi bagi keperluan pengguna negeri ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu, Zulfamy Mat Udi berkata, pihaknya sudah membuat pemeriksaan di 101 stesen minyak di seluruh negeri dan mendapati stok bahan bakar itu mencukupi.

“Terengganu mempunyai 125 stesen minyak, bermula pada 27 Disember lalu, kita sudah periksa di 101 stesen minyak dan bekalan memang cukup.

“Semua pengusaha mengesahkan mereka akan beroperasi seperti biasa,” katanya selepas melakukan pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Mahmud, di sini hari ini.

Menurut Zulfamy, selain pemeriksaan semasa, bekalan seterusnya dan harga semasa, pihaknya turut menyerahkan surat arahan pengawal untuk memastikan pembekalan petrol dan diesel mencukupi di pasaran sehingga kini.

“Pengusaha stesen minyak diarah supaya memastikan bekalan petrol dan diesel sentiasa ada seperti disyaratkan dalam lesen dan jika ingkar, ia melangar Akta Kawalan Bekalan 1961 serta jika bersalah lesen mereka boleh ditarik balik,” katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai tidak perlu bimbang dengan desas desus yang mengatakan pengguna dikhuatiri berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel apabila semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari 2019.

Sementara itu, Zulfamy turut memaklumkan sebanyak enam kes melibatkan stesen minyak direkodkan KPDNHEP Terengganu sepanjang tahun ini dengan nilai rampasan berjumlah RM10,989.

Artikel Berkaitan:

“Dua kes adalah stesen minyak putus bekalan manakala empat kes lagi membabitkan pengusaha stesen menjual diesel kepada orang tidak berlesen,” katanya.