Punca jerebu: Belum terima laporan 4 syarikat Malaysia

Shamsul Iskandar bergambar bersama tetamu dan penanam sawit yang hadir pada Majlis Taklimat MSPO Penanam Sawit di Dewan Sri Bernam di sini hari ini.
Shamsul Iskandar bergambar bersama tetamu dan penanam sawit yang hadir pada Majlis Taklimat MSPO Penanam Sawit di Dewan Sri Bernam di sini hari ini.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Kementerian Industri Utama masih belum menerima laporan menyeluruh berhubung empat syarikat ladang Malaysia yang dikaitkan dengan kebakaran hutan di Indonesia.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, kementerian akan membincangkan perkara dibangkitkan republik itu secara bersama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Menurutnya, Kementerian Industri Utama secara bersama mengambil maklum perkembangan ini kerana ia berkait dengan industri sawit secara keseluruhannya.

"Berdasarkan kenyataan terkini polis Indonesia memaklumkan kebakaran kali ini tidak membabitkan secara signifikan tanaman industri, sebaliknya lebih kepada kebakaran hutan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Penanam Sawit di Dewan Sri Bernam di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, perkara ini perlu disahkan dengan Kedutaan Malaysia di Indonesia dan rakan sejawatan di sana.

Baru-baru ini, media melaporkan kerajaan Indonesia menamakan empat syarikat sebagai punca kebakaran hutan negara itu hingga mengakibatkan jerebu.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar berkata, pendapatan petani kecil kelapa sawit dijangka meningkat dengan pelaksanaan skim MSPO.

"MSPO merupakan usaha kerajaan bagi memastikan keluaran minyak sawit negara dapat dipasarkan di seluruh dunia selari dengan kehendak negara pembeli sawit dan pengguna di seluruh dunia yang mahukan produk pertanian yang dihasilkan melalui kaedah yang mampan, lestari dan selamat.

Artikel Berkaitan:

"Dengan pensijilan ini kuantiti dan kualiti kelapa sawit akan dapat dipertingkatkan serta dengan ini secara langsung meningkatkan pendapatan pekebun," katanya.

Beliau memberitahu, agenda kerajaan bagi menggalakkan peningkatan hasil pertanian dan pendapatan bagi memperkasa pembangunan pekebun kecil.

"Kita meminta semua pekebun kecil terutamanya di Selangor mengambil peluang mendapatkan pensijilan MSPO kerana sehingga kini hanya 4.1 peratus atau 5, 232 hektar kawasan tanaman kelapa sawit pekebun kecil mendapat pensijilan berkenaan berbanding keluasan keseluruhan 238,400 hektar," katanya.

Beliau berkata, seluas 2.96 juta hektar atau 51 peratus daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di negara ini telah mendapat pensijilan MSPO sehingga 31 Ogos lalu.

"Ia meliputi 2. 52 juta hektar ladang dan 441, 645 hektar pekebun kecil manakala bagi kilang buah sawit sebanyak 288 buah kilang atau 64 peratus telah menerima pensijilan berkenaan," katanya.