Putera Adam jagoan IAME Series Asia 2019

Putera Adam (kiri) bakal membawa cabaran Malaysia dan Asia di Kejohanan Dunia IAME 2019 di Le Mans, Perancis Oktober depan.
Putera Adam (kiri) bakal membawa cabaran Malaysia dan Asia di Kejohanan Dunia IAME 2019 di Le Mans, Perancis Oktober depan.
A
A
A

PELUMBA go-kart negara, Putera Adam Halim menoktahkan perlumbaan IAME Series Asia 2019 kategori junior selaku juara keseluruhan selepas mengumpul 208 mata.

Mengungguli siri keenam di Litar Antarabangsa Go-kart Sepang, pelumba berusia 13 tahun itu sukar ditandingi apabila mendominasi keseluruhan 20 pusingan dengan catatan masa 17 minit 06.289 saat meninggalkan pencabar terdekatnya dari Singapura, Christian Ho dan Tasanapol Inthraphuvasak dari Thailand dengan perbezaan masa 0.515 saat serta 0.273 saat.

Putera Adam yang memandu jentera milik pasukan IS Racing, turut meraih tiket ke perlumbaan akhir antarabangsa IAME 2019 di Le Mans, Perancis pada 13 hingga 19 Oktober depan sekali gus mewakili Asia untuk bersaing dengan kesemua juara kejohanan IAME Series di seluruh dunia.

"Perlumbaan kompetitif seperti ini sememangnya memberikan peluang kepada saya untuk membuktikan bahawa pelumba dari Malaysia juga mampu memberi saingan di peringkat antarabangsa dan pada masa sama dapat meningkatkan kualiti pemanduan saya," kata Putera Adam.

Sementara itu, Pengarah Sukan Reprise (Malaysia), Hafizan Halim menyifatkan kejayaan Putera Adam mengekalkan momentum memenangi kejuaraan keseluruhan buat dua tahun berturut-turut membuktikan bahawa pelumba muda itu memiliki potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Jadi saya harap ada pihak berkaitan seperti SIC dapat membantu seterusnya memberikan peluang kepada Putera Adam untuk mengikuti program pembangunan bakat SIC sekali gus mampu mengembangkan bakatnya ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Untuk rekod, pelumba kelahiran Subang itu pernah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa selepas menaiki podium sebanyak dua kali di Kejohanan WSK Super Master Series di Itali pada 2016 dan 2017.

Artikel Berkaitan: