Perkukuh semangat perpaduan, saling menghormati

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

WASHINGTON DC - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa rakyat Malaysia memberi penekanan kepada aspek memperkukuh semangat perpaduan dan sikap saling menghormati dalam berdepan cabaran mendatang yang lebih besar.

Beliau yang tiba di sini pada Ahad untuk lawatan kerja ke ibu negara Amerika Syarikat ini sehingga Rabu sebelum meneruskannya di New York, turut melahirkan harapan agar semangat bekerjasama dan saling bantu-membantu antara semua rakyat terus dipertingkat.

Berkongsi mesejnya sempena Hari Malaysia 2019, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia menegaskan bahawa masyarakat perlu melihat ke hadapan berhubung apa yang mereka harus lakukan secara bersama untuk memajukan negara dalam semua bidang.

"Yang ini (sememangnya) telah kita jayakan sejak Malaysia tertubuh puluhan tahun dulu namun cabaran masa depan adalah lebih besar lagi.

"Maka perkara yang harus kita tekankan ialah soal kerjasama, semangat perpaduan lebih jitu, saling hormat menghormati antara kaum dan bangsa di Malaysia serta menjalin hubungan lebih erat untuk membina negara Malaysia yang lebih berjaya lagi," katanya.

Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan dijadualkan berlangsung di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak pada Isnin malam dengan kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan tetamu lain yang bakal dimeriahkan dengan penyertaan masyarakat pelbagai kaum. - Bernama

Artikel Berkaitan: