Majlis Profesor UMT tolak penggabungan UMT-UniSZA

A
A

KUALA TERENGGANU – Majlis Profesor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam sebulat suara menolak cadangan kerajaan untuk menggabungkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Dengan mengambil kira visi dan misi kedua-dua universiti yang berbeza, majlis itu berpandangan UMT dan UniSZA tidak mempunyai banyak pertindihan dari segi bidang pengkhususan dan kebitaraan untuk digabungkan selain daripada faktor jarak fizikal antara kedua-dua universiti.

“Sebagai sebuah badan yang hampir kesemua ahlinya merupakan ahli Senat UMT, Majlis Profesor UMT tidak bersetuju dengan cadangan untuk menggabungkan UMT dan UniSZA atau sebarang cadangan yang dibuat ke arah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Pusat Komunikasi Korporat UMT.

Majlis Profesor UMT juga berpandangan bahawa sebarang keputusan mengenai penggabungan haruslah dibuat berasaskan kajian menyeluruh serta mengambil kira pandangan kesemua pemegang taruh termasuk pelajar, staf, alumni, ibu bapa, komuniti, kerajaan negeri dan semua pihak berkepentingan lain.

Tindakan itu katanya, akan dapat memastikan keputusan yang adil dan saksama dapat dicapai dan tidak ada pihak yang dipinggirkan.

“Atas sebab perbezaan hala tuju antara kedua-dua universiti dan tiadanya kajian impak menyeluruh mengenai impak penggabungan ini, maka kami sebagai Majlis Profesor UMT tidak bersetuju dengan cadangan penggabungan di antara kedua-dua universiti ini,” katanya.

Majlis Profesor UMT berkata, UMT mempunyai perancangan rapi bagi mencapai visi untuk menjadi universiti yang tersohor dalam bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik.

Pelan Strategik UMT 2018-2022 yang mempunyai lapan teras utama iaitu penyelidikan dan inovasi, pengajaran dan pembelajaran, bakat, pembangunan pelajar, pemindahan ilmu dan jaringan industri, pengantarabangsaan, citra dan kelestarian kewangan akan memastikan UMT mampu melonjak sebagai universiti yang tersohor dalam tujahan ini.

“Berkaitan dengan prestasi dan pencapaian UMT pula, QS Ranking Asia bagi universiti adalah 291-300 dan untuk penarafan SETARA 2017, UMT telah mencapai tahap 5 bintang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gabung UMT-UniSZA harus ambil kira pandangan semua pihak