Jerebu: Pahang minta masjid di Rompin tunai solat hajat

Syed Ibrahim
Syed Ibrahim
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang meminta Jabatan Agama Islam dapat memastikan setiap masjid di daerah Rompin menunaikan solat hajat Istisqa sebagai usaha mengurangkan kadar jerebu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, usaha itu juga bagi mengelakkan kualiti udara tidak sihat daripada berterusan.

Menurutnya, solat berkenaan diharap dapat menurunkan hujan dan membantu pelajar dapat menduduki peperiksaan akhir tahun dengan selesa.

"Kita bimbang keadaan ini berterusan tambahan pula sekarang musim peperiksaan. UPSR sedang berjalan manakala PT3 dan SPM hampir tiba.

"Sehubungan itu saya berharap sesuatu yang positif dapat dilakukan.

"Salah satu daripadanya ialah memastikan masjid mengadakan solat hajat. Jika hujan turun ini juga salah satu faktor pemulihan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sebanyak 15 sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di Rompin ditutup hari ini selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah itu masih tidak sihat.

Walaupun bacaan IPU pada jam 11 pagi ini menurun kepada 85 berbanding 227 semalam namun keputusan penutupan sekolah itu sebagai langkah berjaga-jaga untuk kesihatan murid dan guru.

Artikel Berkaitan:

Syed Ibrahim berkata, jika kualiti udara dalam keadaan terkawal sesi persekolahan akan dibuka semula esok.

Menurutnya, peperiksaan juga diteruskan dengan kawalan rapi pihak berkaitan.