Pakegom jadi medan penyatuan anak Kelantan

Mohd Rakbi (tengah) bersama sebahagian ahli Pakegom selepas mesyuarat di Gombak malam tadi.
Mohd Rakbi (tengah) bersama sebahagian ahli Pakegom selepas mesyuarat di Gombak malam tadi.
A
A
A

GOMBAK - Persatuan Anak-Anak Kelantan Gombak (Pakegom) akan terus menjadi salah satu platform penyatuan bagi anak-anak Kelantan di perantauan menerusi pelbagai program yang telah dirangka.

Pengerusinya, Mohd Rakbi Ab Manaf berkata, penubuhan persatuan itu sejak awal bertujuan untuk mengeratkan silaturahim anak-anak Kelantan khususnya yang berada di Selangor tanpa mengira kedudukan serta perbezaan fahaman politik.

Menurutnya, menjejak tiga tahun usia penubuhan, Pakegom telah melaksanakan pelbagai program berbentuk termasuk program keagamaan, kebajikan dan kesukanan untuk manfaat ahli dan masyarakat setempat.

"Pakegom ditubuhkan untuk mengumpulkan anak-anak Kelantan dalam satu komuniti, ia bukan saja dapat mengeratkan silaturahim, malah kita dapat saling bantu-membantu antara satu sama lain.

"Manfaat daripada program yang kita anjurkan juga bukan saja terhad kepada anak Kelantan malah juga kepada komuniti setempat, antaranya sumbangan dana persatuan dalam program berbentuk kebajikan.

"Selain itu, kita juga sering menjalankan kerjasama dengan institusi surau dan masjid sekitar Gombak untuk program keagamaan, secara tidak langsung dapat membantu usaha mengimarahkan surau-surau," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Dwi-tahunan Pakegom, malam tadi.

Hadir sama ke mesyuarat berkenaan, Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Azhar Zainoddin.

Hasil perbincangan dalam mesyuarat itu antara lain turut mengumumkan Datuk Abdun Nasir Muhammad sebagai penaung persatuan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Rakbi menjelaskan antara fokus utama persatuan itu ialah memperkenalkan seni budaya masyarakat Kelantan menerusi program-program akan datang.

"Untuk rangka program akan datang, selain medan penyatuan anak-anak Kelantan, Pakegom turut merancang untuk memberi tumpuan kepada usaha mengangkat dan memartabatkan seni budaya tradisional masyarakat Kelantan.

"Antaranya dikir barat, wayang kulit, tarian dan sebagainya, secara tidak langsung dapat memastikan warisan budaya tradisi ini tidak dilupakan," katanya.