Bersatu bukan rumah baharu orang Melayu tetapi….

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Parti serpihan Umno, Bersatu bukanlah seperti yang dilaungkan oleh Pengerusinya,Tun Dr Mahathir Mohamad semasa berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu semalam sebagai rumah baharu orang Melayu sebaliknya ia lebih sesuai menjadi rumah baharu bagi bekas ahli parlimen dan adun Umno.

Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tindak tanduk Bersatu tidak meyakinkan orang Melayu bahawa parti itu adalah rumah baharu untuk orang Melayu.

Menurutnya, Bersatu dilihat lemah dan tunduk kepada DAP. Orang Melayu lebih takut dan terancam melihat Bersatu diperalatkan DAP.

“Ini dibuktikan kehadiran luar biasa orang Melayu di perhimpunan bantah ICERD (Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum). Lagi pun kelahiran Bersatu bukan kerana perjuangan Melayu, Islam dan rakyat seperti kelahiran Umno.

"Kesimpulannya, Bersatu hanya sesuai sebagai 'rumah baharu' kepada bekas ahli Parlimen dan Adun Umno yang kini menjadi gelandangan,” katanya dalam perkongsian di Facebooknya hari ini.

Mohd Puad berkata, dari segi sejarah, parti serpihan tidak boleh hidup lama dan parti asal tetap sukar untuk dimusnahkan.

“Sama ada Umno, Pas, MCA, MIC dan DAP semuanya berpengalaman melahirkan parti serpihannya. Oleh kerana Bersatu adalah serpihan Umno, maka apakah Bersatu mampu menjadi rumah baharu menggantikan Umno?

“Parti serpihan Umno yang benar benar mencabar Umno ialah Semangat 46 (S46). Hampir separuh anggota Kabinet kerajaan menyertai Ku Li (Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah) dan S46, ketika itu juga Umno diharamkan.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi apakah Umno terkubur? nampaknya S46 yang terkubur,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Puad tidak menafikan Bersatu mempunyai sedikit perbezaan dengan parti-parti serpihan Umno sebelum ini.

“Mungkin kali ini berbeza, buat kali pertama, parti serpihan Umno, Bersatu dapat menumpaskan Umno melalui pilihanraya. Umno kalah teruk serta hilang kuasa pusat dan negeri kecuali Pahang dan Perlis.

“Agaknya itu alasan Tun M mengatakan Umno sudah musnah dan bahtera yang karam. Tetapi kemenangan Bersatu bukan kemenangan tulen. Ia kemenangan ihsan. Ihsan DAP dan PKR.

“Bersatu cuma menang 13 kerusi. Seperti analisis Invoke Rafizi Ramli (Naib Presiden PKR) di PRU ke 14, PH cuma dapat sokongan 30 peratus orang Melayu.

“Daripada 30 peratus itu, PKR dapat 31 peratus, Amanah dapat 26 peratus dan Bersatu hanya dapat 21 peratus. Sumbangan Bersatu kepada PH ialah membantu ‘swing’ 10 peratus sokongan orang Melayu daripada Umno kepada PH,” katanya.

Mohd Puad memberitahu, kegagalan Mahathir untuk mengharamkan Umno membuktikan Umno tidak boleh diharamkan secara paksa atau ikut pintu belakang.

“Sebab itu untuk mengatakan Umno akan berkubur adalah mimpi di siang hari.

“Malah ada bukti, parti yang kalah boleh berkuasa semula. Ini dibuktikan oleh Parti LDP Jepun. Justeru masa depan Bersatu sendiri tidak menentu. Nasib mereka ditentukan oleh DAP,” katanya lagi.