Pokok binjai berusia lebih 100 tahun berbuah lebat

Pokok binjai berusia lebih 100 tahun yang berbuah setiap empat tahun menjadi tumpuan penduduk Kampung Telekong.
Pokok binjai berusia lebih 100 tahun yang berbuah setiap empat tahun menjadi tumpuan penduduk Kampung Telekong.
A
A
A

KUALA KRAI - Baunya yang harum serta rasa yang manis serta masam menjadikan buah binjai atau nama saintifiknya Mangifera Caesia sentiasa ditunggu-tunggu setiap kali tiba musimnya.

Bagi penduduk Kampung Telekong, musim buah binjai kali ini ibarat pesta memandangkan pokok besar di situ yang berbuah empat tahun sekali lebat berbuah pada tahun ini.

Pokok yang berada di atas tanah rizab serta tidak mempunyai pemilik antara faktor yang menarik penduduk setempat tanpa mengira usia untuk mengutip buah yang gugur.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Telekong, Abdul Rahim Mat Isa, 50an berkata, binjai di kampungnya berbuah lebat mencecah puluhan ribu biji menyebabkan kawasan pokok yang berusia lebih 100 tahun itu tidak pernah sunyi dari menerima kunjungan penduduk.

Menurutnya, dia tidak mengetahui usia sebenar pokok tersebut tetapi berdasarkan cerita penduduk berusia 70 hingga 80 tahun, pokok itu telah berada di situ sejak mereka di zaman kanak-kanak.

"Penduduk yang ramai berkumpul untuk mengutip buah ini menjadikan suasana di sini meriah," katanya gembira melihat suasana tersebut yang secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan penduduk.

Abdul Rahim berkata, sepanjang tempoh sebulan keadaan sekitar pokok binjai seperti pesta.

"Bagi yang mahu mengutip buah untuk dimakan bersama keluarga mereka keluar sekejap sahaja kerana buahnya gugur pada setiap masa.

Artikel Berkaitan:

"Penduduk yang nak menjualnya pula sanggup bermalam di sekitar pokok binjai bemula selepas Isyak membawa ke Subuh. Ada yang mampu memperoleh 50 biji semalaman," katanya.

Katanya lagi, kelmarin merupakan hari terakhir buah binjai dari pokok berusia lebih 100 tahun itu boleh dikutip kerana buahnya telah habis.

"Jika panjang umur empat tahun lagi penduduk boleh melalui detik sama," katanya.