Pasangan maut kebakaran sibuk buat persiapan kahwin anak

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Hasrat pasangan suami isteri warga emas yang mahu melihat anak bongsu mereka berkahwin tidak kesampaian selepas ditemukan dalam rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan 20 premis perniagaan, 11 rumah dan sebuah perpustakaan awam di pekan Sungai Lembing awal pagi tadi.

Difahamkan sewaktu kejadian Ho Yok Fun, 74 dan isterinya, Chow Kim Mui, 70, sedang melakukan persiapan perkahwinan anak lelaki bongsu mereka yang bekerja di Singapura.

Adik Yok Fun, Ho Yok Kam, 69, berkata, dia terkejut apabila mendapat panggilan telefon berhubung kejadian terbabit kira-kira jam 5 pagi tadi.

“Saya menetap di Kuantan jadi saya tidak tahu kebakaran ini sehinggalah ada seseorang yang hubungi saya dan memaklumkan kejadian tersebut.

“Mereka (kedua-dua mangsa) masih bekerja dan menguruskan kedai makan di sini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Yok Kam berkata,mangsa mempunyai empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Bagaimanapun, tiga anaknya tinggal di Kuantan dan seorang lagi bekerja di Singapura.

Setakat ini, mayat Kim Mui berjaya ditemui kira-kira jam 5.50 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohamad memberitahu sebanyak 31 buah premis di Sungai Lembing di sini, musnah keseluruhan pada kebakaran yang berlaku pada 1.20 pagi tadi.

Menurutnya, kemusnahan melibatkan 11 buah rumah kongsi setingkat, 19 rumah kedai dua tingkat dan sebuah perpustakaan.

"Kebakaran dipercayai berlaku sekitar 1.20 pagi dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 3.55 pagi.

"Buat masa ini, pihak kami sedang membuat pemeriksaan menyeluruh kerana difahamkan terdapat sepasang suami isteri yang tidak ditemui dalam kejadian itu," katanya.

Nor Hisham berkata lima jentera dengan kekuatan 54 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian, terdiri daripada dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Indera Mahkota, Taman Tas dan Gebeng.