Veteran ATM suka 'berlari' kerana cintakan negara

Nasir melakukan persiapan akhir sebelum memulakan Larian Bendera Muhibbah sempena sambutan Hari Kebangsaan bermula di Dataran Alor Setar baru-baru ini. - Foto Bernama
Nasir melakukan persiapan akhir sebelum memulakan Larian Bendera Muhibbah sempena sambutan Hari Kebangsaan bermula di Dataran Alor Setar baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Selepas dua kali namanya tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR), veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Nasir Abas atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nasir kini dalam misi memburu rekod ketiga dalam acara larian.

Bersempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, Nasir, 64, bersama rakannya Krishnan Andy, 61, membuat Larian Merdeka Muhibbah sejauh 540 kilometer (km) dari Dataran Alor Setar di sini ke Shah Alam, Selangor dan dijangka dicatat dalam MBOR sebagai warga emas pertama membuat larian sejauh 500 km.

Sebelum ini, nama Nasir tercatat dalam MBOR susulan kejayaan membuat larian sempena sambutan Bulan Kemerdekaan pada 2002 iaitu sejauh 1,754 kilometer (km) dari Alor Setar ke Rantau Panjang, Kelantan, kemudian ke Johor Bahru, Johor sebelum pulang semula ke Alor Setar dalam masa sebulan.

Setahun kemudian, namanya tercatat sekali lagi dalam MBOR apabila melakukan larian sejauh 2,068 km dari Tawau, Sabah menuju ke Kuching, Sarawak sempena Solo Borneo Run yang mengambil masa 53 hari.

"Saya tahu ramai orang bercakap tentang saya yang suka berlari, bila ada sesuatu sambutan seperti Hari Merdeka atau kemenangan pasukan bola sepak Kedah mesti saya berlari, tapi saya buat ini bukan suka-suka, tetapi minat saya terhadap sukan ini sejak dari sekolah rendah lagi.

"Pengorbanan saya terhadap larian adalah salah satu sumbangan di mana ramai orang anggap pesara tentera mestilah hendak tunjuk kuat, tetapi kekuatan bukan segalanya kerana saya ingin membangkitkan semangat cintakan negara," katanya kepada Bernama, di sini baru-baru ini.

Nasir dan rakannya Krishnan Andy, 61, bergambar bersama murid Sekolah Kebangsaan Korok Lama ketika melakukan Larian Bendera Muhibbah sempena sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Alor Setar baru-baru ini. - Foto Bernama
Nasir dan rakannya Krishnan Andy, 61, bergambar bersama murid Sekolah Kebangsaan Korok Lama ketika melakukan Larian Bendera Muhibbah sempena sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Alor Setar baru-baru ini. - Foto Bernama

Nasir berkata, sewaktu berkhidmat dalam ATM minatnya terhadap sukan larian semakin ‘menjadi-jadi’ dan telah menyertai banyak acara atau pertandingan mewakili ATM termasuk di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Pertandingan antarabangsa maraton pertama saya sertai adalah KL International First Marathon 1982, ketika itu saya mewakili ATM dalam kategori antarabangsa dan sebelum saya bersara, pada tahun 1997 sekali lagi saya membawa nama ATM menyertai pertandingan Larian Bendera Tiga Penjuru sempena sambutan Hari Merdeka,” katanya.

Nasir yang bersara sebagai Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (JLJ) Kem Sungai Layar, Sungai Petani berkata, banyak larian dilakukannya bersempena dengan sambutan kemerdekaan negara kerana mahu menunjukkan rasa dan semangat cintakan negara.

"Ada juga larian dilakukan sempena temasya sukan seperti Larian Baton dan Obor sempena temasya Sukan Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur, temasya Sukan SEA pada 2001 dan 2017 dan larian sempena Sukan Malaysia pada 2000, 2004 dan 2006,” katanya.

Nasir melakukan latihan larian bersama pelari muda sejauh 10 kilometer (km) di sekitar Bandaraya Alor Setar semalam. - Foto Bernama
Nasir melakukan latihan larian bersama pelari muda sejauh 10 kilometer (km) di sekitar Bandaraya Alor Setar semalam. - Foto Bernama

Nasir turut memasang cita-cita untuk membuat larian maraton suatu hari nanti di Tembok Besar China dan Karakoram Highway iaitu lebuh raya sepanjang 1,300 km yang menghubungkan China dengan Pakistan.

Mengulas mengenai lariannya sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Nasir berkata ia mempunyai sedikit kelainan berbanding larian sebelum ini kerana turut disertai oleh sahabatnya dari pelbagai kaum dan agama.

"Malah ada juga rakan-rakan sekerja saya di kem dahulu memberitahu akan menunggu saya di setiap ‘check-point’ untuk berlari bersama saya dan lebih menakjubkan saya dapat sokongan daripada kumpulan pelari generasi muda di mana mereka akan berlari bersama dan disambung oleh kumpulan lain di ‘check-point’ seterusnya,” katanya.

Nasir berkata, sepanjang larian itu dia dan rakannya Krishnan juga akan mengedarkan 5,000 Jalur Gemilang kepada penduduk setempat sepanjang laluan yang diharap dapat memberi inspirasi terutama kepada generasi muda untuk menonjolkan semangat cintakan negara.

"Saya lihat masyarakat kita sekarang kurang mengibarkan Jalur Gemilang malah semangat cintakan negara yang ditonjolkan oleh generasi muda juga kurang dan minda mereka seperti 'dijajah' melalui teknologi hari ini,” katanya yang mempunyai empat orang anak dan 10 cucu.

Larian Nasir dan Krishnan dari Dataran Alor Setar di sini telahpun bermula pada Isnin lepas yang dijangka mengambil masa 12 hari sebelum tiba di Shah Alam pada malam ambang Merdeka, 30 Ogos ini. - Bernama

Nasir melakukan persiapan akhir di hadapan rumahnya bersama ahli keluarga sebelum memulakan Larian Bendera Muhibbah sempena sambutan Hari Kebangsaan bermula di Dataran Alor Setar baru-baru ini. - Foto Bernama
Nasir melakukan persiapan akhir di hadapan rumahnya bersama ahli keluarga sebelum memulakan Larian Bendera Muhibbah sempena sambutan Hari Kebangsaan bermula di Dataran Alor Setar baru-baru ini. - Foto Bernama