Jangan keruhkan lagi keadaan: Dzulkefly

Dzulkefly (tengah) menyempurnakan gimik perasmian program MyMerdeka Sayangi Malaysiaku 2019 di Pasaraya Mydin Mutiara Rini di sini hari ini.
Dzulkefly (tengah) menyempurnakan gimik perasmian program MyMerdeka Sayangi Malaysiaku 2019 di Pasaraya Mydin Mutiara Rini di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Orang ramai digesa supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan berhubung isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik kerana dikhuatiri akan mengakibatkan perpecahan, permusuhan dan suasana tidak selesa dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta agama di negara ini.

Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, mereka yang memiliki maklumat mengenai isu tersebut sebaliknya dinasihatkan supaya melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Saya lihat gambar-gambar yang dimuat naik itu sebahagiannya dikeluarkan pada 2016. Negara kita mempunyai undang-undang. Setiap kesalahan yang dilakukan secara sengaja adalah tertakluk pada peruntukan tertentu.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya memberi teguran secara berhemah. Biarkan pihak berkuasa ambil tindakan.

"Jangan mengeruhkan keadaan kerana ia akan mengakibatkan perpecahan, semangat permusuhan, suasana tidak selesa dalam kalangan rakyat berbilang agama dan bangsa," katanya ketika ditanya berhubung isu tersebut.

Terdahulu, Dzulkefly merasmikan program MyMerdeka Sayangi Malaysiaku 2019 di Pasaraya Mydin Mutiara Rini di sini hari ini.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta pihak polis juga perlu membuat pemantauan berterusan dan mengambil tindakan bersesuaian terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab memuat naik isu tidak diingini di dalam media sosial.

"Saya harap pihak polis dan SKMM dapat membuat pemantauan berterusan berhubung isu ini. Laporan polis juga perlu dibuat dari semasa ke semasa untuk membuat siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: