Jalur Gemilang terbalik: Ini bukan perkara main-main

Maszlee melalui ciapan di Twitter miliknya memaklumkan KPM akan menyiasat insiden bendera Jalur Gemilang terbalik yang dibekalkan ke sekolah.
Maszlee melalui ciapan di Twitter miliknya memaklumkan KPM akan menyiasat insiden bendera Jalur Gemilang terbalik yang dibekalkan ke sekolah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Apa juga alasan di sebalik pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik, ia tidak wajar diterima dan dimaafkan dengan mudah kerana tindakan itu seolah-olah menghina dan mempersendakan kedaulatan negara Malaysia yang merdeka.

Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, alasan dangkal seperti lupa cara pasang, tersalah pasang atau dipasang oleh warga asing itu tidak rasional untuk diterima memandangkan Malaysia sudah merdeka 62 tahun.

Menurutnya, bendera adalah tentang maruah, kedaulatan dan imej negara dan sekiranya dipasang terbalik, ia suatu penghinaan dan penderhakaan kepada kedaulatan negara kita Malaysia.

“Malah secara tersirat pemasangan bendera terbalik ini ibarat melawan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara. Hina ketua negara dan mempermainkan maruah negara.

“Kita kena baca mesej tersirat di sebalik pemasangan bendera terbalik ini. Mereka cuba mencabar kedaulatan negara dan keagungan Malaysia sebagai sebagai negara merdeka. Kalau tak suka bendera Malaysia, keluarlah dari negara ini. Sikap kurang ajar seperti mereka ini tidak layak jadi warganegara Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ramlah Adam. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ramlah Adam. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

Ramlah berkata demikian merujuk perbuatan bendera Malaysia terbalik yang dipasang di premis, kenderaan dan syarikat yang dipaparkan dalam laman sosial menjelang sambutan kemerdekaan negara ke-62 pada 31 Ogos ini.

Sementara itu, Ramlah berkata, sebagai sebuah kerajaan, Pakatan Harapan (PH) sepatutnya menjaga maruah negara, tidak wajar membiarkan kedaulatan negara ditunggang seperti yang berlaku mutakhir ini.

Artikel Berkaitan:

“Agensi kerajaan patut disaman. Mereka harus bertanggungjawab kerana membiarkan bendera Malaysia ditunggang terbalik seperti itu. Jika dibiarkan, adakah kerajaan hari ini bebas undang-undang boleh buat sesuka hati?.

“Perbuatan ini tak boleh dimaafkan, ini soal maruah negara. Sebagai rakyat Malaysia perbuatan mereka ini jelas tidak bertanggungjawab kepada negara, mempersendakan maruah dan ia penghinaan amat besar,” katanya.

Beliau berkata, pemasangan bendera terbalik menyebabkan ia dipolitikkan dan dijadikan isu perkauman.

“Mereka ini penderhaka negara dan wajar dikenakan tindakan, ia bukan perkara main-main,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: KPM siasat Jalur Gemilang terbalik dibekalkan ke sekolah

Lagi kes Jalur Gemilang terbalik