Skuad B-18 perlu lupakan kegagalan di Vietnam
SKUAD bola sepak Bawah 18 negara (B-18) perlu melupakan episod duka pada Kejuaraan B-18 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, semalam dan memberi fokus sepenuhnya untuk menghadapi Pusingan Kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFC) 2020 di Kemboja, November ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian naib juara diraih skuad Bawah 18 (B-18) negara pada kejohanan di Vietnam berkenaan dan menuntut barisan muda pemain negara memberi fokus pada pusingan kelayakan di Kemboja dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 10 November ini.
"Kita tidak perlu menoleh ke belakang sebaliknya terus maju ke hadapan dengan jadikan kesilapan kekalahan ini sebagai iktibar untuk perlawanan lain selepas ini.
"Tahniah dan terima kasih kepada Brad dan barisan kejurulatihannya iaitu Khan Hung Meng dan Yong Wai Hwang serta pegawai lain diketuai pengurus pasukan yang juga exco FAM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar yang turut sama bekerja keras sepanjang hampir dua minggu mereka berada di Vietnam," katanya menerusi Facebook FAM di sini hari ini.
Pada aksi di Stadium Thong Nhat, Vietnam itu, pemain tengah Lachlan Ricky Brook meledak gol kemenangan untuk Australia pada minit ke-79, sekali gus memberi kejuaraan kelima untuk skuad 'The Joeys' selepas muncul juara pada empat edisi terdahulu pada 2006, 2008, 2010 dan 2016.
Malaysia diletakkan dengan Kumpulan G dengan Thailand, Brunei Darussalam, Northern Mariana Islands dan tuan rumah, Kemboja pada Pusingan Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020.
Skuad muda negara akan memulakan kempen menentang Kemboja pada 2 November, Brunei Darussalam (6 November), Northern Mariana Islands (8 November) sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Thailand pada 10 November.
Berdasarkan format kejohanan, juara daripada setiap 11 kumpulan dan lima pasukan kedua terbaik (five best runners-up), layak ke pusingan akhir kejohanan.
Bagaimanapun, AFC masih belum mengumumkan tuan rumah pusingan akhir kejohanan berkenaan. - Bernama