Orang muda jangan buang masa: Dai' Syed

Dai' Syed
Dai' Syed
A
A
A

DAI' SYED mengajak kepada golongan remaja dan belia untuk turut serta dalam misi bantuan kemanusiaan di Syria.

Katanya kepada Sinar Harian menerusi aplikasi WhatsApp ketika berada di sana, melihat situasi malang dan menyayat hati itu, dia mahu lebih ramai orang muda terlibat dalam misi ini.

"Saya sebolehnya nak sangat orang muda dalam lingkungan usia bawah 40 tahun ke 15 tahun untuk terlibat sama membantu mangsa perang di Syria.

"Kalau setakat jadi penonton lebih baik praktikan bagi yang berkemampuan. Jangan buang masa dengan hiburan kosong sahaja," luahnya.

Bagi Syed atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, cukuplah sekadar berkongsi cerita yang sedang berlaku di sana.

"Negara dan warga Syria kini dalam kesusahan, mereka juga amat memerlukan bantuan kita di sini.

"Apabila orang lain baca dan tahu tentang perkara ini, kita mungkin menjadi asbab orang lain bersedekah, maka dapat pahala," katanya kita perlu sentiasa bersyukur.

Menceritakan pengalaman kali pertama mengikuti misi itu di sana, Syed tersentuh hati bila mana melihat anak-anak yatim piatu masih cekal hati, selain pengalaman mendengar tembakan daripada pihak rejim.

Artikel Berkaitan:

"Mereka hilang negara bahkan rumah juga di bom, lebih menyayat hati lagi mereka sudah kehilangan ibu bapa. Tetapi mereka masih berjuang untuk terus hidup.

"Selain itu, saya lagi tersentuh hati apabila coklat yang dibawa dari Malaysia mereka berebut-rebut," katanya dengan nada sebak.

Untuk rekod, misi bantuan selama lapan hari yang diikuti Syed bersama Malaysia Line Life for Syria & Global Peace Malaysia itu membawa 50 ekor kambing biri-biri ibadah korban untuk diberikan kepada pelarian Syria di sempadan Gaziantep, Turkey.

Dua hari selepas itu, Syed bersama rombongan masuk ke Syria dengan misi membawa 100 ekor kambing ibadah korban.