Tudung Jalur Gemilang laris macam pisang goreng panas!

Hamidah menunjukkan tudung bercorak Jalur Gemilang yang dijual di gerainya di pekan sehari Pendang, Kedah hari ini.
Hamidah menunjukkan tudung bercorak Jalur Gemilang yang dijual di gerainya di pekan sehari Pendang, Kedah hari ini.
A
A
A

PENDANG - Sebuah gerai menjual tudung di sini diserbu orang ramai yang ingin mendapatkan tudung bertemakan Jalur Gemilang untuk digayakan dalam Bulan Kebangsaan ini.

Pemilik gerai, Hamidah Husin, 48, berkata, dalam tempoh dua hari sahaja sejak Jumaat, sebanyak 240 helai tudung telah dijual kepada pelanggannya dan jualan dijangka terus meningkat sehingga 16 September depan.

"Tudung jenis bawal bertemakan Jalur Gemilang laris macam ‘pisang goreng panas’, semalam saya dapat jual 140 helai dan hari ini selepas dibuka pada pukul 9 pagi tadi sebanyak 100 helai lagi habis dijual.

"Ramai yang datang beli adalah guru dan pelajar sekolah, paling banyak seorang pelanggan membeli lima helai sebab mereka mahu pakai masa majlis sambutan Hari Kebangsaan peringkat sekolah,” katanya ketika ditemui di gerainya di Pekan Sehari Pendang di sini.

Katanya, walaupun mendapat permintaan yang amat tinggi beliau hanya menjual tudung tersebut pada harga RM10 sehelai dan berharap lebih banyak dapat dijual kepada pelanggannya.

"Tudung Jalur Gemilang ini mempunyai corak menarik apabila bulan sabit dan bintang dicetak besar di helaian kain dan menjadi trend pada bulan kebangsaan ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pembeli tudung itu, Siti Zawiyah Ahmad, 35, berkata, beliau memilih untuk menggayakan tudung itu bagi menzahirkan rasa cintakan negara pada Bulan Kebangsaan ini.

Beliau yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di Seremban berkata, pemakaian tudung Jalur Gemilang itu juga diharap dapat menaikkan semangat para pelajarnya apabila dipakai di sekolah nanti.

Artikel Berkaitan:

"Ramai guru wanita di sekolah saya sudah memakai tudung ini di sekolah dan saya juga tidak mahu ketinggalan dan harap dapat pakai sehingga 16 September nanti,” katanya. - Bernama