Tuah guru juara memancing

Pemenang Pertandingan Memancing Cabaran Joran Johor Sejahtera di pesisiran Pantai Pontian Besar.
Pemenang Pertandingan Memancing Cabaran Joran Johor Sejahtera di pesisiran Pantai Pontian Besar.
A
A
A

PONTIAN - Tuah memihak kepada seorang guru apabila berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000 selepas muncul juara pertandingan memancing Cabaran Joran Johor Sejahtera anjuran Pas Kawasan Pontian di pesisiran pantai Pontian Besar,baru-baru ini.

Mujahid Misran, guru di Sekolah Kebangsaan Kayu Ara Pasong menewaskan 310 peserta lain apabila dia berjaya menaikkan seekor ikan sembilang seberat 1kilogram.

Manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Shahrir Babak yang berjaya menaikkan ikan sembilang seberat 800gram dan 700gram sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,200.

Hadiah-hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Ketua Kampung Kawasan (3) Mukim Pontian, Ibrahim Ahmad.

Sementara itu, Pengarah Pertandingan Mohd Ab Hisham Husin 32, berkata, pertandingan tersebut merupakan kali pertama dianjurkan Pas Kawasan Pontian melalui Biro Sukan dan Reakeasi.

Katanya, pertandingan itu merupakan pendekatan dakwah oleh Pas melalui aktiviti riadah di samping beberapa aktiviti lain yang disediakan seperti Kembara Sungai Pontian Besar dan pemeriksaan kesihatan.

“Turut diadakan ialah pendaftaran pengundi baharu, pertandingan mewarna dan aktiviti memanah melibatkan anak-anak ahli Pas kawasan Pontian dan sebagainya,” katanya.

Katanya, bukan sahaja penduduk Pontian, tetapi peserta dari Muar, Batu Pahat, Johor Bahru selain pemancing tempatan turut mengambil bahagian.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pesisiran pantai Pontian Besar juga menarik untuk dijadikan lokasi pertandingan memancing bagi kapasiti sederhana diantara 300 hingga 500 orang pada satu-satu masa.