FAM tolak rayuan KFA

Muhammad Akhyar Abdul Rashid
Muhammad Akhyar Abdul Rashid
A
A
A
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengekalkan keputusannya mengenai nilai pampasan dalam kes bintang muda negara, Muhammad Akhyar Abdul Rashid bagi menebus kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Jawatankuasa Rayuan FAM yang bermesyuarat semalam, mengekalkan keputusan bahawa pemain berusia 19 tahun itu hanya perlu membayar RM210,000 untuk menebus baki kontraknya bersama KFA untuk berhijrah ke pasukan lain, manakala pasukan baharunya harus membayar RM75,000 kepada KFA.

Mesyuarat dipengerusikan Datuk Seri Mohammad Mokhtar Mohamad Sharif itu, menegaskan keputusan Jawatankuasa Status FAM yang telah bermesyuarat pada 3 dan 4 Disember lalu mengenai tuntutan Muhammad Akhyar untuk penamatan kontrak melalui tebus kontrak diterima sepenuhnya dan dikekalkan.

KFA yang tidak berpuas hati dengan nilai tersebut, sebelum ini membuat rayuan kepada FAM untuk meningkatkan pampasan.

“Beliau dibenarkan menebus kontraknya bersama KFA dengan bayaran nilai tebus kontrak RM210,000. Sebagai bayaran tambahan kepada KFA, mana-mana pasukan baharu yang menandatangani kontrak bersama beliau seterusnya dikehendaki membayar RM75,000 kepada KFA untuk nilai pampasan latihan.

“Untuk makluman, jumlah nilai pampasan ditetapkan di atas ini bukanlah diletak sewenang-wenangnya FAM tetapi berdasarkan artikel dalam Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FAM,” menurut kenyataan FAM hari ini.

FAM berkata, jumlah RM210,000 itu ditetapkan berdasarkan jumlah gaji Muhammad Akhyar yang didarabkan dengan jumlah baki kontraknya bersama KFA, iaitu mengikut Artikel 15A: Penamatan kontrak secara sebelah pihak atau tebus kontrak oleh pasukan atau pemain.

Sementara itu, RM75,000 ialah kos latihan, kategori kelab yang telah ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), iaitu mengikut Artikel 8: Pengiraan Pampasan Latihan Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM.

“Jumlah RM75,000 tersebut adalah nilai pampasan latihan yang menjadi wang tambahan untuk diperolehi KFA dengan mengambil kira nilai-nilai murni bola sepak. Untuk itu, secara keseluruhan KFA akan menerima sejumlah RM285,000,” kata kenyataan itu.
Artikel Berkaitan:


Muhammad Akhyar yang dinobatkan sebagai penyerang terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 bulan lepas, masih mempunyai baki kontrak bersama skuad Hijau Kuning sehingga akhir 2019.

Beberapa pasukan seperti juara Liga Super sebanyak lima kali terturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perlis dikatakan berminat untuk mengikat pemain kelahiran Alor Setar itu. - Bernama