Dua maut, tiga cedera dalam kebakaran

Keadaan premis rumah kedai dua tingkat yang terbakar di Taman Bukit Indah pagi tadi.
Keadaan premis rumah kedai dua tingkat yang terbakar di Taman Bukit Indah pagi tadi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua maut, manakala tiga yang lain cedera dalam kebakaran premis rumah kedai di Taman Bukit Indah pagi tadi.

Kejadian membabitkan premis perniagaan dua tingkat menjual barangan cat dan peralatan perkakasan perumahan dengan tingkat atas premis dijadikan tempat tinggal dan mempunyai dua bilik tidur, ruang tamu, dapur serta stor simpan cat.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kebakaran disyaki berpunca dari luar premis bahagian belakang tingkat bawah bangunan.

"Pihak bomba telah memadamkan kebakaran dan punca kebakaran disyaki cecair seperti minyak.

"Mangsa merupakan dua lelaki dan tiga wanita dipercayai warga tempatan. Dua wanita telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lelaki dan seorang wanita dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan," katanya di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis yang diteliti, kelihatan seorang lelaki membawa botol plastik dipercayai mengandungi minyak untuk melakukan pembakaran.

"Punca kejadian tidak diketahui dan masih dalam siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Keadaan premis rumah kedai dua tingkat yang terbakar di Taman Bukit Indah pagi tadi.
Keadaan premis rumah kedai dua tingkat yang terbakar di Taman Bukit Indah pagi tadi.

Beliau berkata, mangsa yang cedera merupakan pasangan suami isteri masing-masing berusia 44 dan 40 tahun serta seorang anak lelakinya berusia enam tahun.

"Mangsa yang meninggal dunia adalah ibu dan anak saudara kepada mangsa lelaki berusia 44 tahun yang masing-masing berusia 60-an dan 20-an.

"Proses bedah siasatan dijalankan oleh pakar patologi HSA. Siasatan di tempat kejadian turut dibantu oleh pegawai forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor serta anggota dan pasukan bomba," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Sinar Harian memaklumkan enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri digerakkan ke tempat kejadian selain bantuan diberikan dari BBP Larkin dan BBP Skudai dengan kekuatan 28 anggota.

Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II Inggai anak Bakau berkata, setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kebakaran sebuah rumah kedai dua tingkat.