KAFA minta masa berhubung tunggakan gaji

WAN ABDUL RAHIM. Foto: BH Online
WAN ABDUL RAHIM. Foto: BH Online
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) memerlukan lebih masa untuk meneliti berkaitan isu tunggakan gaji pemain Kelantan seperti didakwa Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sebelum ini.

Presidennya, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, PFAM atau mana-mana pihak yang terlibat seharusnya memberikan masa dan ruang kepada KAFA memandangkan persatuan itu hanya baru sebulan diterajui oleh kepimpinan baharu.

“Baru sebulan saya dan barisan kepimpinan lain bersama persatuan, dan ia terlalu awal untuk mengulas berhubung bayaran tertunggak. Kami akan berbincang dan meneliti isu tunggakan ini sebelum apa-apa keputusan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail yang mendedahkan beberapa pasukan masih mempunyai tunggakan gaji pemain sehingga mencecah RM6.4 juta secara keseluruhannya.

Selain Kelantan, antara pasukan terlibat ialah Melaka United, Negeri Sembilan dan Pahang selain empat kelab yang telah ditutup iaitu Kuantan FA, Hanelang FC, Marcerra United FC dan Terengganu City FC.

Wan Abdul Rahim berkata, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, beliau seharus merujuk terlebih dulu barisan kepimpinan KAFA bagi mengelakkan percanggahan kenyataan.

“Buat masa ini, saya tidak boleh ulas secara lanjut, perlu rujukan daripada orang lama dalam persatuan menandangkan saya hanya sebulan bersama KAFA,” katanya.

Awal Julai lalu, Wan Abdul Rahim dilantik sebagai Presiden KAFA pada Kongres Agung Luar Biasa (EGM) badan induk itu bagi menggantikan Bibi Ramjani Ilias Khan yang melepaskan jawatannya.

Artikel Berkaitan: