China tolak dilabel sebagai pemanipulasi mata wang

China pernah dilabel gelaran sama pada 1992 hingga 1994.
China pernah dilabel gelaran sama pada 1992 hingga 1994.
A
A
A

BEIJING - Bank Pusat China semalam menolak sekeras-kerasnya keputusan Amerika Syarikat (AS) melabel Beijing sebagai 'pemanipulasi mata wang'.

"Washington mengabaikan fakta dan dengan tidak munasabah melabel China seperti itu," kata Bank Rakyat China (PBOC) dalam satu kenyataan.

Ia juga memberi amaran tindakan Washington akan merosakkan kewangan antarabangsa dan mencetuskan kekacauan dalam pasaran kewangan selain menghalang pemulihan ekonomi dan perdagangan global.

Ia adalah tindak balas rasmi pertama Beijing terhadap serangan serentak dilancarkan AS di tengah-tengah perang perdagangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara ekonomi terbesar di dunia itu.

Menurutnya, China tidak akan menggunakan kadar pertukaran mata wang sebagai alat untuk menangani pertikaian perdagangan.

"Beijing menasihatkan Washington supaya sedar dengan kesilapan mereka dan berpatah balik dari laluan yang salah," tegasnya.

Tuduhan dilemparkan AS adalah sebagai respons terhadap kejatuhan nilai Yuan pada tahap terendah 1.4 peratus di bawah tujuh per dolar AS dalam tempoh hampir sedekad.

Keputusan untuk melabel China sebagai pemanipulasi mata wang dibuat kurang tiga minggu selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memaklumkan nilai Yuan sejajar dengan asas ekonomi Beijing manakala dolar AS adalah terlebih nilai sebanyak enam hingga 12 peratus.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, undang-undang AS menetapkan tiga kriteria untuk mengenal pasti pemanipulasi dalam kalangan rakan perdagangan iaitu lebihan akaun semasa global, lebihan perdagangan penting dengan Washington dan campur tangan sehala dalam pasaran pertukaran asing. - Agensi