Prosedur baharu tangguh menopaus selama 20 tahun

Dixie-Louise Dexter
Dixie-Louise Dexter
A
A
A

LONDON - Wanita kini boleh menangguhkan menopaus sehingga 20 tahun dengan adanya prosedur baharu yang membuat jam biologi mereka berasa lebih muda daripada usia sebenar.

Diilhamkan pakar kesuburan yang menerajui kaedah persenyawaan in vitro (IVF), prosedur pembedahan selama 30 minit itu dikatakan berupaya merubah kehidupan ribuan wanita yang mengalami kesan sampingan teruk akibat menopaus seperti osteoporosis dan masalah jantung.

Menerusi prosedur baharu itu, tisu ovari diambil dan dibekukan lalu disimpan dalam bank ais.

Apabila seseorang wanita itu mencapai masa menopaus, tisu berkenaan dinyahsejuk-beku dan dimasukkan semula di bahagian ketiak, mencetuskan hormon semula jadi yang menangguhkan menopaus.

Dengan kos antara £3,000 (RM15,222) dan £7,000 (RM35,514) bagi mengeluarkan dan menyimpan tisu ovari dan tambahan £4,000 (RM20,294) bagi memasukkannya semula, prosedur terbabit buat waktu ini hanya boleh didapati menerusi syarikat swasta, ProFam (Protecting Family and Menopause) di Birmingham.

Ia dikendalikan oleh Profesor Simon Fishel, seorang peneraju prosedur IVF yang terlibat dalam kelahiran Natalie Brown, adik perempuan kepada bayi tabung uji pertama, Louise Brown.

Menurut Sunday Times, sembilan wanita Britain berusia antara 22 dan 36 tahun telah menjalani prosedur tersebut yang ditawarkan kepada wanita Britain sehingga umur 40 tahun.

Dixie-Louise Dexter, seorang guru berusia 33 tahun yang telah menjalani prosedur berkenaan berkata, dia tidak lagi mengalami kesan sampingan menopaus seperti kesakitan, perubahan emosi dan kesukaran tidur pada waktu malam. - Agensi

Artikel Berkaitan: