Malaysia-Indonesia dalam era baharu

Rusdi Kirana
Rusdi Kirana
A
A
A

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dijangka mengadakan lawatan ke Malaysia pada 8 dan 9 Ogos ini.

Dijangkakan pada pertemuan itu, Jokowi dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membincangkan hubungan dua hala membabitkan perdagangan dan isu-isu Malaysia-Indonesia.

Ikuti wawancara wartawan Malaysia dengan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana di Jakarta baru-baru ini berhubung lawatan tersebut. Wawancara itu turut disertai Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin dan Ketua Penerbitan al-Quran Karya Bestari, Ahmad Yani Abd Manaf.

Adakah perdagangan antara Indonesia dan Malaysia sekarang berada pada tahap memuaskan?

RUSDI: Saya boleh katakan memuaskan kerana pelaburan Malaysia di Indonesia berada pada kedudukan keenam, namun saya rasa ia boleh ditingkatkan dengan lebih besar.

Salah satu contoh ialah pembangunan kereta Asean, kita juga bercakap tentang kerjasama antara Pertamina dan Petronas, pelancongan, komoditi dan kerjasama baik dalam bidang harga minyak mentah sawit (CPO), Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dan kerjasama dalam bidang perikanan yang memang kadangkala wujud sedikit konflik.

Ya, intinya sudah baik namun kurang optimum. Bagi saya, harus dibuat satu ketetapan agar lebih dioptimumkan.

Pada masa ini apakah yang menjadi isu utama mengenai tenaga kerja dari Indonesia?

Artikel Berkaitan:

RUSDI: Bagi saya ialah dari sisi untuk mendapatkan izin visa kerja. Ini satu hal tapi hal kedua yang jadi masalah ialah dari segi yuran, bagi saya ia boleh dikurangkan hingga boleh membuat kawan-kawan yang mempunyai perniagaan dalam bidang perhotelan dapat membayar pengambilan pekerja pada kos yang lebih rendah.

Kita mengharapkan kerajaan Malaysia untuk mengambil rakyat Indonesia bekerja dalam bidang tidak formal tetapi juga dalam bidang formal atau berkemahiran seperti perhotelan dan industri yang lebih tinggi, tidak hanya di ladang dan sebagai pembantu rumah tangga.

Secara psikologi, kalau satu hari anak anda diberi kerja di bahagian yang lebih baik, kita sebagai orang tua pasti menghormati orang yang berikan pekerjaan itu, kalau anak kita diberi pekerjaan rendah maka kita juga mempersoalkan tentang perkara ini. Begitu juga dengan tenaga kerja dari Malaysia di Indonesia. Kita harus ada timbal balik.

Malaysia kembali dilanda jerebu kerana kebakaran hutan. Apakah ini akan disentuh lagi dalam pertemuan antara Presiden Indonesia, Jokowi dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kali ini?

RUSDI: Memang masalah jerebu ini, masalah asap, pemerintah Indonesia berusaha untuk tidak hanya memberikan teguran keras tetapi juga menyenarai hitam perusahaan atau sesiapa yang melakukan dengan sengaja. Ini tidak mudah. Bagi saya, kita tidak boleh mencegah jerebu terjadi.

Yang boleh kita lakukan ialah CPOPC antara Malaysia Indonesia mengenai kestabilan harga kelapa sawit. Bagaimana kita dapat menafikan larangan Kesatuan Eropah (EU) terhadap kelapa sawit kita. Kenapa kita tidak bersatu tenaga untuk menyelesaikan masalah ini kerana perlu kita ketahui perusahaan ladang kelapa sawit ini banyak orang Malaysia punya dan orang Indonesia juga ada ladang di Malaysia, jadi pemainnya sama.

Yang kita bimbang masalah jerebu ini dipolitikkan. Disebabkan jerebu, minyak sawit kita dilarang dan kita tidak mahu negara ketiga ambil kesempatan begitu. Isunya bagaimana penyelesaian dan masalah boleh diminimumkan.

Anda sangat rapat dengan Jokowi. Apakah pandangan Jokowi terhadap Dr Mahathir berbanding dahulu dengan sekarang?

RUSDI: Jokowi sangat hormat kepada Dr Mahathir kerana sewaktu Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia, Jokowi mengharapkan beliau menjadi pemimpin negara pertama yang memberikan ucap tahniah kepada Dr Mahathir. Malah semasa Dr Mahathir datang ke Jakarta, Jokowi sendiri yang jemput beliau di lapangan terbang yang pada kebiasaannya wakil pemerintah sahaja.

Pada 9 Ogos ini ada jemputan daripada Perdana Menteri Singapura untuk mengadakan pertemuan antara Malaysia dan Indonesia, jadi Jokowi sebelum ke Singapura pada 9 Ogos meluangkan masa beliau untuk berjumpa dengan Dr Mahathir. Sebagai bangsa Timur kita sangat menghormati orang yang lebih tua.

Apakah bentuk kolaboratif yang boleh diwujudkan dalam bidang penerbangan antara Malaysia dan Indonesia?

RUSDI: Dalam industri penerbangan, Malaysia dan Indonesia kalau kita boleh kolaboratifkan ini dapat memberi satu peluang yang sangat besar kerana Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching itu secara geografi berada di utara Indonesia. Kalau saya mahu terbang ke Jepun, Eropah atau China, saya harus melalui Malaysia. Saya memulakan perniagaan penerbangan Lion Air pada tahun 2000 dengan modal AS$950,000 dan sampai ke hari ini perusahaan itu masih milik persendirian kerana kita ada pasaran besar dan lebih berkesan jika kita kerjasama.

Intinya cuma satu selagi kita tidak berfikir kita lebih baik daripada Malaysia dan Malaysia tidak berfikir Indonesia lebih baik, kalau kita berfikir kita negara yang harus bekerjasama, bersinergi untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat, maka kita akan jadi lebih baik.

Bagaimana anda melihat situasi politik di Malaysia?

RUSDI: Saya tidak ikut campur dalam politik negara Malaysia. Masalah rakyat Malaysia memilih pemimpinnya kita hormati. Tapi kita juga melihat Dr Mahathir ini sebagai orang tua yang banyak makan asam garam dan kita hormatinya pada usia sedemikian masih mahu berbakti kepada negaranya.

Kita kagum dengan kesihatannya, Saya sendiri sangat terkejut ketika berjumpa dengan isteri Dr Mahathir untuk kali kedua. Kali pertama di Jakarta, kali kedua bertemu lagi di Malaysia. Saya perkenalkan saya Rusdi, Duta Besar Indonesia. Dr Siti Hasmah langsung bilang 'Oh Pak Rusdinya'. Saya terkejut, ingatan beliau lebih hebat daripada saya. Saya secara peribadi mengharapkan saya macam Dr Mahathir, umur 90 tahun saya masih sihat.

Selain daripada kerjasama dalam industri penerbangan, apakah anda melihat kerjasama itu boleh dilakukan untuk teknologi tinggi seperti revolusi perindustrian 4.0?

RUSDI: Saya akan buat satu contoh mudah. Diri saya sebagai Duta Besar Indonesia dan juga pengusaha. Saya melihat peluang perkara yang utama. Yang jadi masalah bagi kita ialah kadar tukaran mata wang asing. Masalah Ringgit, masalah Rupiah. Sehingga kos sara hidup hidup naik kerana kita bergantung kepada import.

Ertinya kita kena usahakan ke arah kemakmuran bersama?

RUSDI: Dalam caranya, begitulah. Rakyat itu tidak berontak, anak itu tidak berontak, kalau perutnya kenyang.

Adakah ini masa terbaik kepada dua pemimpin karismatik dari Indonesia dan Malaysia untuk menjadikan hasrat itu satu kenyataan?

RUSDI: Ya, tiada lagi masa lain. Bukan setakat masa terbaik, tiada lagi masa lain. Dalam pengertian ekonomi, kita hidup seperti negara sebelum merdeka. China dan Amerika Syarikat ada perang perdagangan, kita yang kena masalah. Dia punya masalah kita yang mendapat penderitaan. Dia gaduh, kita yang susah. Dia mesra kita juga yang susah. Kita tidak bisa bergantung kepada negara siapa pun.

Kita tak bisa bilang kita ada masalah dalam ekonomi kerana China dan Amerika Syarikat masih dalam perang perdagangan. Kita tidak merdeka dari segi ekonomi. Kita boleh kata, kita merdeka daripada kolonialisme tapi segi ekonomi kita masih banyak mengimport. Bagaimana boleh kita menjadi negara pengeksport.

Katakan kita tidak boleh menjadi negara pengeksport, kita usahakan pakai produk sendiri. Saya berikan contoh kereta. Malaysia ada banyak hal baik yang Indonesia tidak punya. Begitu juga Indonesia ada banyak yang baik yang Malaysia belum punya. Itu saja dulu yang kita optimumkan.