Sistem amaran tsunami baharu dipasang tahun depan

Pemandangan udara di Kampung Sumur di Pandeglang, wilayah Banten yang dibadai tsunami Sabtu lalu. - Foto Reuters
Pemandangan udara di Kampung Sumur di Pandeglang, wilayah Banten yang dibadai tsunami Sabtu lalu. - Foto Reuters
A
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Kerajaan Indonesia dilaporkan akan memasang sistem amaran baharu yang mampu mengesan tsunami diakibatkan gelongsoran bawah laut bermula tahun depan.

Ia berkata demikian beberapa hari selepas tsunami membadai Selat Sunda susulan runtuhan pada sebahagian gunung berapi Anak Krakatau yang meletus dan mengorbankan sekurang-kurangnya 429 orang.

Menurut jurucakap Agensi Penilaian dan Penerapan Teknologi, Iyan Turyana, struktur baharu tersebut akan berupaya mengesan dan mengukur saiz gelombang.

Teknologi amaran sedia ada gagal meramal tsunami yang melanda bandar pesisir di Selat Sunda yang terletak antara kepulauan Sumatera dan Jawa pada malam Sabtu lalu berikutan ia hanya berfungsi mengesan gempa bumi, dan bukannya gelonsoran bawah laut dan letusan gunung berapi yang juga mampu mencetuskan gelombang maut tsunami.

Faktor kekurangan dana, vandalisme ke atas boya dan kerosakan teknikal dikatakan menjadi punca boya amaran tsunami tidak beroperasi sejak 2012.

Berhubung tsunami 22 Disember lalu, pakar berkata, walaupun terdapat boya berhampiran gunung berapi tersebut, masa untuk memberi amaran adalah terhad memandangkan jarak Anak Krakatau yang terlalu hampir dengan kawasan pantai.

Sehubungan itu, penduduk dinasihatkan menjauhi kawasan pantai susulan risiko berlaku tsunami susulan masih tinggi.

Dalam pada itu, pasukan mencari kini berdepan kesukaran memasuki kawasan bencana bagi menjalankan misi menyelamat dan menyampaikan bantuan berikutan hujan lebat dan akses jalan utama terputus.

Artikel Berkaitan:

Terdapat juga kebimbangan berlaku krisis kesihatan akibat kekurangan bekalan air bersih dan ubat-ubatan di pusat pemindahan yang menempatkan ribuan mangsa susulan tsunami yang mencederakan lebih 1000 orang dan menyebabkan 16,000 yang lain hilang tempat tinggal. - BBC