X

Kindly register in order to view this article
!

Jawi nafi larang Ustaz Azhar Idrus berceramah

Ustaz Azhar Idrus
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menafikan dakwaan bahawa penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus dilarang menyampaikan kuliah atau ceramah di seluruh kawasan Wilayah Persekutuan seperti yang tular baru-baru ini.

Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail menegaskan penceramah itu ada tauliah mengajar agama di Wilayah Persekutuan dan ia terpakai sehingga 31 Disember 2020.

"Maklumkan kepada semua pihak bahawa tiada halangan buat Ustaz Azhar Idrus memberikan ceramah di Wilayah Persekutuan mengikut tauliah yang diberikan oleh Pejabat Mufti.

"Saya menafikan Jawi membuat larangan tersebut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Baru-baru ini, tular di laman sosial yang mendakwa penceramah bebas itu dilarang menyampaikan kuliah atau ceramah di seluruh kawasan Wilayah Persekutuan selepas pembatalan kuliahnya di Masjid Mua'adz, Setiawangsa pada Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Ajib berkata dakwaan tersebut timbul berkemungkinan kerana berlaku salah faham dengan pihak pengurusan masjid tertentu.

"Saya difahamkan masjid yang menjemputnya (Azhar Idrus) terpaksa menangguhkan ceramah ke suatu masa yang akan dipersetujui atas sebab-sebab teknikal kerana tarikh tersebut iaitu pada 27 Julai lalu adalah dalam tempoh pengujian pendingin hawa masjid itu.

"Penangguhan dibuat atas nasihat teknikal kontraktor kerana dikuatiri berlaku masalah bekalan elektrik yang mungkin akan mengganggu kerja pengujian pendingin hawa baharu," katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta agar semua pihak pengurusan masjid memberikan kerjasama kepada semua pendakwa yang mempunyai tauliah untuk menyampaikan ceramah atau kuliah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus