'Datuk miang' cabul tiga gadis ketika temuduga kerja

Gambar hiasan. Gambar kecil:Mazuki Mat
A
A

IPOH - Seorang lelaki bergelar Datuk ditahan polis selepas disyaki mencabul tiga gadis berusia 20 tahun dalam satu sesi temuduga jawatan kerani di sebuah syarikat di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, Medan Gopeng di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, suspek berusia 65 tahun itu merupakan pengurus syarikat dan mengendalikan temuduga yang dihadiri ketiga-tiga mangsa bermula pada jam 7.45 pagi hingga 4.30 petang.

“Berdasarkan keterangan, suspek tidak bertanyakan soalan berkaitan kerja sebaliknya menghabiskan masa menceritakan hal peribadi dan ada mengambil gambar mangsa.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa menjadi mangsa cabul apabila suspek bertindak memegang tangan dan paha mangsa, memeluk dari belakang selain cuba mencium di bahagian leher, dahi serta pergelangan tangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, tangkapan segera dilakukan selepas menerima laporan yang dibuat oleh kesemua mangsa di Balai Polis Kampung Rapat.

“Suspek berjaya ditahan dan rakaman percakapan telah diambil namun suspek tidak mengaku melakukan perbuatan itu. Rakaman percakapan saksi yang merupakan anak suspek turut diambil.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku semasa temuduga dijalankan tetapi berbeza masa. Suspek dibebaskan dengan jaminan polis setelah keterangan direkodkan,” katanya.

Mazuki berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu mencabul.