34 termasuk dua budak ditahan terlibat judi sabung ayam

Ahsmon Bajah
Ahsmon Bajah
A
A
A

KOTA TINGGI - Seramai 34 individu termasuk dua kanak-kanak berusia tiga tahun ditahan polis kerana dipercayai terlibat kegiatan judi sabung ayam dan holo di ladang kelapa sawit di Bukit Aping Barat, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, serbuan dilakukan pada jam 5.30 petang itu hasil maklumat dan risikan sepasukan anggota dari unit Op Judi Laga Ayam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi diketuai Inspektor P Devendiran.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di kawasan ladang sawit tersebut mendapati terdapat aktiviti judi jenis holo dan taruh judi laga ayam.

"Susulan itu polis menahan 34 lelaki berusia tiga hingga 65 tahun. Polis turut merampas barang perjudian melibatkan 27 ekor ayam laga, 10 sangkar besi ayam laga, 11 sangkar plastik ayam laga, satu penimbang elektronik, satu bilah taji ayam laga.

"Turut dirampas satu kotak pil vitamin B-complex, satu kotak pil derby, satu kotak viminolak, satu papan putih, tiga unit walkie talkie dan wang dianggarkan bernilai RM10,526," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek ditangkap dan barang rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 44 (1)(d) Akta Binatang 1953 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Semua tangkapan direman sehingga 1 Ogos manakala tangkapan warga asing direman sehingga 11 Ogos untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: