Warga emas maut, 9 cedera termasuk bayi

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut. - FOTO: IHSAN BOMBA
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut. - FOTO: IHSAN BOMBA
A
A
A

BERUAS - Seorang wanita warga emas maut selepas kereta yang dinaikinya bertembung sebuah lagi kereta dari arah bertentangan di Kilometer 10.5, Jalan Beruas-Parit di sini petang semalam.

Kemalangan melibatkan kereta Proton Persona dan Mecedes Benz C250 itu turut menyebabkan seorang lelaki cedera parah manakala lapan lagi termasuk seorang bayi berusia setahun cedera.

Ketua Polis Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, mangsa Sim Fu Oi, 87, yang menaiki kereta Proton Persona meninggal dunia manakala pemandu kereta berkenaan lelaki berusia 54 tahun cedera parah di kepala dan badan.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 1.16 petang di mana Proton Persona dinaiki mangsa bersama tiga lagi penumpang berusia 50 hingga 61 tahun dari arah Parit menghala ke Beruas.

"Setibanya di lokasi kejadian Proton Persona terbabit dipercayai memasuki arah bertentangan sebelum bertembung dengan Mercedes Benz C250 dari arah hadapan dan menyebabkan Mercedes Benz C250 dinaiki lima inidvidu berpusing di laluannya dan melanggar tiang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga lagi penumpang Proton Persona cedera di muka, badan, kaki dan tangan manakala pemandu Mercedes Benz C250 cedera ringan dikaki dan empat lagi penumpang termasuk seorang bayi setahun cedera di badan.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM) untuk bedah siasat dan sembilan lagi mangsa masih dalam rawatan di hospital sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: