Satu hari nanti Harimau Malaya mungkin hanya pada jata negara

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua pihak digesa berganding bahu bagi meningkatkan populasi spesies Harimau Malaya yang diancam kepupusan.

Penaung Kempen Selamatkan Harimau Malaya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkata, ketamakan manusia menjadi punca bilangan haiwan itu semakin berkurangan.

"Disebabkan ketamakan manusia, kita mungkin tidak akan dapat melihat haiwan ciptaan ALLAH yang indah ini.

"Harimau Malaya akan pupus dan ketika itu kita hanya boleh tunjuk kepada cucu-cicit pada lambang dalam jata negara dan baju T sahaja,” katanya ketika berucap di majlis sambutan Hari Harimau Sedunia 2019 dan pelancaran Kempen Selamatkan Harimau Malaya 2019-2020 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Dalam majlis itu, Dr Siti Hasmah turut mengumumkan nama rasmi bagi tiga ekor anak Harimau Malaya yang dilahirkan di Zoo Negara pada Mei lalu.

"Dua ekor anak harimau yang jantan saya namakan Wira dan Hebat, manakala yang betina saya beri nama Melur," katanya.

Isteri Perdana Menteri itu juga bergurau menyatakan hasratnya untuk memeluk tiga anak harimau tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi apabila saya dibawa berjumpa dengan tiga ekor anak harimau ini, rupa-rupanya mereka sudah membesar. Tak mungkin saya dapat peluk.

"Namun syukur Alhamdulillah kerana tiga ekor anak harimau ini dapat dilahirkan," katanya.

Majlis turut menyaksikan Dr Siti Hasmah menerima sumbangan daripada badan-badan korporat, NGO, universiti dan sekolah untuk Tabung Selamatkan Harimau Malaya berjumlah RM1.34 juta bagi melaksanakan inisiatif konversasi Harimau Malaya.